Kerajaan pastikan vaksin Covid-19 selamat, halal: Dr Jemilah

Dr Jemilah Mahmood
Dr Jemilah Mahmood
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia akan memastikan vaksin koronavirus (Covid-19) yang akan diterima daripada mana-mana negara pengeluar adalah selamat dan halal untuk digunakan oleh rakyat di negara ini.

Penasihat Khas Kesihatan Awam Kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata, kedua-dua perkara itu menjadi asas terpenting yang akan dinilai sebelum menerima vaksin daripada negara pengeluar nanti.

Katanya, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat 193 vaksin yang sedang dibangunkan dan daripada jumlah itu, sebanyak 42 daripada mereka berada dalam fasa penilaian klinikal dengan 11 daripadanya dalam fasa tiga iaitu pelaksanaan ke atas manusia.

"Kita tengah menunggu lagi sama ada vaksin fasa tiga ini adakah ia akan berjaya mengeluarkan respons yang kita sebut ada cukup antibodi yang dikeluarkan oleh tubuh seseorang yang diberi vaksin (untuk ujian) itu dan paling penting adakah ia selamat," katanya ketika Sinar Live bertajuk Vaksin Covid-19: Ada atau tidak? yang disiar secara langsung di semua platfom Sinar Harian di sini hari ini.

Selain itu, Dr Jemilah berkata, aspek halal juga akan turut menjadi keutamaan bagi memastikan komponen atau bahan yang digunakan itu tidak mempunyai bahan terlarang untuk orang Islam.

"Dari segi halal dan haram itu, kita mesti ingat bahawa kita (Malaysia) bukan seorang. Kita ada 1.8 bilion populasi Muslim di dunia.

"Jadi negara-negara Muslim yang lain pun melihat perkara ini. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga akan sentiasa lihat dan awasi komponen vaksin itu sebelum beri kelulusan," katanya.

Sementara itu, ditanya jangkaan vaksin untuk Covid-19 boleh didapati, Dr Jemilah berkata, ia dijangka selewatnya suku ketiga tahun depan.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya, dari semua kajian yang kita baca sekarang dan juga dialog WHO dan sebagainya, kemungkinan vaksin ada dalam (pasaran) hujung tahun ini dan ada juga beberapa jenis vaksin yang mungkin dilanjutkan tempoh percubaan.

"Kalau ini berjaya (vaksin fasa tiga), makanya kita mungkin dapat vaksin itu dalam suku ketiga tahun depan kerana banyak proses yang perlu dilalui termasuk pembotolan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!