AirAsia berhentikan 10 peratus kakitangan

Airasia Bhd dan Airasia X Bhd sahkan terpaksa memberhentikan 10 peratus daripada keseluruhan 24,000 tenaga kerjanya pada minggu lalu.
Airasia Bhd dan Airasia X Bhd sahkan terpaksa memberhentikan 10 peratus daripada keseluruhan 24,000 tenaga kerjanya pada minggu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat penerbangan tambang rendah, Airasia Bhd dan Airasia X Bhd mengesahkan bahawa ia terpaksa memberhentikan 10 peratus daripada keseluruhan 24,000 tenaga kerjanya pada minggu lalu.

Ini mengesahkan laporan Bernama pada 28 September yang melaporkan AirAsia berkemungkinan melaksanakan pusingan terbaharu langkah pemberhentian beratus-ratus pekerjanya dalam usaha untuk terus bertahan dalam industri yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Bercakap semasa sesi temu bual dalam program berita Buletin Utama TV3 hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, langkah pemberhentian pekerja itu terpaksa dilakukan berikutan realiti sektor penerbangan yang sukar pulih dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, kumpulan penerbangan itu bakal beroperasi dengan skala yang lebih kecil selepas ini dan AirAsia akan berusaha untuk menyelamatkan seberapa banyak kakitangan yang diberhentikan.

"Kami sangat bermotivasi untuk menang kerana kami sangat bermotivasi untuk mengambil semula mereka bekerja dan menyediakan sebanyak mungkin pekerjaan yang kami boleh sediakan, kakitangan hebat kami tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“AirAsia mengambil berat kebajikan pekerjanya. Apa sahaja yang orang katakan, kita membangunkan syarikat yang hebat atas usaha gigih pekerja yang hebat, 24,000 pekerja yang hebat dan kita kehilangan sebahagian daripada mereka walaupun bukan salah mereka, jadi menjadi tanggungjawab saya untuk berusaha memulihkan semula syarikat penerbangan ini dan menyediakan pekerjaan lain kepada mereka,” katanya.

Pada awal Jun lalu, AirAsia telah mengurangkan lebih 250 pekerjanya akibat penularan pandemik tersebut.

Dalam temu bual tersebut, Fernandes turut bersetuju dengan pendekatan kerajaan untuk tidak menyelamatkan mana-mana syarikat penerbangan dengan sebarang suntikan dana.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, sokongan dari sudut pinjaman bagi sektor kritikal adalah amat diperlukan.

“Kerajaan telah menyediakan skim Prihatin (Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat) yang mana baik dan mencukupi bagi kami. Itu adil kerana bukan usaha menyelamat, ia adalah pinjaman dan kami perlu membayar balik pinjaman itu. Ia tidak berbeza dengan kami mendapatkan daripada pemberi pajak.

“Sesiapa yang menyatakan Prihatin adalah langkah menyelamat, (yang saya fikir) adalah salah. Malaysia Airlines mempunyai pemegang saham besar, Khazanah Nasional Bhd. Saya fikir ia adalah wajar (Menteri Kewangan) Tengku Zafrul berkata, perniagaan mesti berdiri sendiri,” katanya.

Fernandes menjelaskan bantuan dari segi pembiayaan pertama dijangka hanya diterima akhir bulan ini dan mengakui Airasia telah berusaha mendapatkan pembiayaan sekitar RM2 bilion hingga RM2.5 bilion, kebanyakannya daripada sumber tempatan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!