Kuna dipilih sebagai Felow Antarabangsa Akademi Kejuruteraan Diraja UK

Kuna Sittampalam
Kuna Sittampalam
A
A
A

KUALA LUMPUR - Naib Pengerusi Eksekutif HSS Engineers Berhad, Tan Sri Kuna Sittampalam muncul sebagai rakyat Malaysia pertama yang dipilih sebagai Felow Antarabangsa Akademi Kejuruteraan Diraja di United Kingdom (UK).

HSS Engineers Berhad dalam satu kenyataan menyebut pemilihan itu adalah satu pengiktirafan terhadap prestasi cemerlang dan sumbangan beliau kepada profesyen kejuruteraan di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

"Setiap tahun, Akademi Kejuruteraan Diraja itu akan mengenal pasti 50 jurutera, pencipta dan ahli teknologi di UK dan seluruh dunia bagi mempromosi kecemerlangan dalam bidang kejuruteraan yang memajukan industri kejuruteraan global.

"Sittampalam adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang dipilih sejak akademi itu ditubuhkan pada 1976. Tahun ini, dua lagi Felow Antarabangsa yang dipilih adalah dari Finland dan Amerika Syarikat," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Sittampalam berkata, pelantikan itu adalah di luar pencapaian peribadinya dan membolehkan beliau melaksanakan matlamat untuk memberi bimbingan kepada generasi muda dalam bidang kejuruteraan, mempromosi pakar runding Malaysia di Rantau Asia Tenggara dan membawa kecemerlangan kejuruteraan dan inovasi teknologi Akademi Kejuruteraan Diraja ke Malaysia.

"Saya amat berharap perkara ini akan meningkatkan penanda aras kualiti dalam sektor kejuruteraan yang membawa kepada kepimpinan serantau," katanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaludin berkata, selama hampir empat dekad, Sittampalam telah memainkan peranan dalam mengubah landskap infrastruktur di Malaysia dan luar negara dengan membuat konsep, inovasi serta melaksanakan projek pembangunan yang mencabar.

Sittampalam, yang juga pengasas bersama HSS Engineers Berhad dengan rakannya, Datuk Shanta Kumar pada 1984, adalah pemegang Ijazah Sarjana Kejuruteraan Universiti Sheffield pada 1979 dan penerima Hadiah Miller daripada Institut Jurutera Awam di UK.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, beliau melanjutkan pelajaran di peringkat menengah di Maktab Tentera Diraja yang berprestij dan menerima anugerah Old Putera pada 2015 selain merupakan lulusan program OPM, Fakulti Perniagaan Harvard.

HSS Engineers Berhad adalah antara kumpulan perunding kejuruteraan terkemuka dan terbesar yang tersenarai di Malaysia serta telah terlibat dalam banyak projek berskala besar seperti MRT 1 dan 2, Lebuhraya Maju 2, Lebuhraya Pantai Barat, Lebuhraya SUKE dan lain-lain. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!