SUBANG JAYA - Keasyikan lelaki berhidung belang berkaraoke dengan ditemani gadis pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat karaoke di USJ 19 di sini, terbantut selepas diserbu polis awal pagi tadi. Operasi Ops Noda dan Penguatkuasaan Covid-19 itu dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Selangor hasil maklumat dan risikan. Ketika serbuan, terdapat cubaan GRO terbabit menyembunyikan diri di belakang pintu, malah terdapat beberapa pekerja premis terbabit meloloskan diri melalui bumbung premis. Selain itu, polis turut mengesan terdapat laluan tersembunyi untuk gadis terbabit melarikan. Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Zuhairee Mohamad Rashid berkata, operasi kira-kira jam 2.30 pagi berjaya menahan 10 wanita warga Vietnam disyaki GRO. "Turut ditahan adalah tiga warga tempatan termasuk seorang wanita dipercayai penjaga. "Seramai 26 pengunjung premis terbabit juga telah dikenakan tindakan kompaun kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya kepada Sinar Harian hari ini. Menurutnya, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk siasatan lanjut. "Kes disiasat di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (No 8) 2020, Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.