Pengawal keselamatan ditipu beli komponen motosikal
KUANTAN - Seorang pengawal keselamatan kerugian RM2,750 selepas terpedaya dengan urusan pembelian komponen motosikal yang tidak wujud di laman sosial Instagram pada 16 September lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 20 tahun berminat dengan iklan di Instagram dan bersetuju untuk membeli barang enjin, ekzos, rim dan tayar motosikal pada harga RM2,300.
Menurutnya, mangsa membuat bayaran melalui dua transaksi pindahan wang secara dalam talian ke ke dua akaun bank atas nama individu berbeza.
"Bayaran pertama dibuat pada 24 September lalu berjumlah RM1,050 manakala baki bayaran diselesaikan pada 8 Oktober lepas.
"Bagaimanapun, mangsa gagal menerima barang yang dipesan sebagaimana yang dijanjikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Wazir berkata, mangsa sebelum ini ada menghubungi penjual (suspek) bertanyakan tentang barang yang dipesan namun pelbagai alasan diberikan.
"Mangsa syak ditipu apabila suspek telah menyekat nombor telefonnya lalu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh, semalam," katanya.
Beliau berkata, pihaknya percaya suspek memperdaya mangsa untuk membuat bayaran dengan menawarkan barang jualan tidak wujud.
"Kertas siasatan kes ini dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Pada masa sama polis turut mengesan dua pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!