Parti tidak tanding di PRK Batu Sapi buat pilihan bijak

Frankie Poon
Frankie Poon
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan parti politik atau calon bebas yang mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi adalah pilihan bijak bagi mengurangkan penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Malah tindakan itu juga disifatkan sebagai tanda hormat kepada mendiang Datuk Liew Vui Keong yang juga penyandang bagi kerusi Parlimen Batu Sapi.

Pemangku Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon berkata, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting dan DUN Sekong adalah di bawah Batu Sapi dan kedua-dua kawasan DUN ini dimenangi oleh wakil Parti Warisan Sabah (Warisan), George Hiew dan Alias Sani pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

"Barisan Nasional (BN) dan Parti Cinta Sabah (PCS) telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan bertanding di Batu Sapi bagi menangani penularan wabak Covid-19 yang lagi serius di Sandakan.

"Kepada parti-parti dan bebas yang membuat keputusan untuk tidak bertanding akan mendapat penghormatan atas keputusan yang wajar ini," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Frankie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat berkata, semua pihak harus menghormati mendiang Vui Keong dan mengizinkan wakil Warisan terus berkhidmat di Batu Sapi.

"Mendiang Vui Keong yang mewakili Warisan telah menang di Batu Sapi pada 2018 dengan majoriti 12, 976 undian, calon-calon lain yang bertanding termasuklah calon PBS, Datin Linda Tsen, calon Pas, Norsah Bongsu dan calon Parti Amanah Negara, Hamza Abdullah pada masa itu.

"Kita haruslah menghormati mendiang dan mengizinkan wakil Warisan terus berkhidmat di Batu Sapi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Vui Keong meninggal dunia pada 2 Oktober lalu dan selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus mengadakan PRK bagi mengisi kekosongan kerusi itu dalam masa 60 hari dari hari kekosongan kerusi itu.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Batu Sapi boleh ditangguh jika kawasan diisytihar darurat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!