Sediakan dana bendung isu masalah mental akibat Covid-19: Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan perlu memperuntukkan dana yang munasabah bagi membendung isu masalah kesihatan mental yang dihadapi rakyat susulan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurut Anwar, kesihatan mental adalah antara lapangan yang amat kurang diberi tumpuan dan juga pendanaan awam.

Malah, kata beliau, dapatan terkini menunjukkan sebanyak 44 peratus warga Malaysia terkesan dengan masalah kesihatan mental sejak awal penularan pandemik tersebut.

"Kesan pandemik Covid-19 amat besar dan ia meningkatkan kegelisahan, tekanan dan kesunyian dalam kalangan warga yang terpaksa melalui fasa pengurungan dan sebagainya.

"Keadaan bertambah buruk apabila ada yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan harian dan kanak-kanak juga terdedah dengan gangguan mental akibat daripada sekolah-sekolah yang ditutup, perhubungan yang terhad dengan aktiviti ko-kurikulum serta masa bersama rakan turut terkesan.

"Ada juga sebilangan warga yang terpaksa berdepan dengan gejala penderaan di rumah dan tekanan akibat terkurung," katanya dalam satu kenyataan akhbar sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia di sini hari ini.

Justeru, katanya, kepentingan aspek kesihatan mental tidak boleh dikesampingkan, apatah lagi dalam suasana pandemik Covid-19 ketika ini.

"Dalam situasi ekonomi yang meruncing masa kini, kerajaan seharusnya bekerja untuk memastikan pendanaan yang cukup mesti diperuntukkan dalam mendokong mereka yang terkesan dengan masalah mental termasuk petugas barisan hadapan.

Artikel Berkaitan:

"Jangan kita pinggirkan mereka yang terdedah dengan gejala itu dan stigma mesti ditangani sebaiknya. Mereka tidak harus berasa sunyi," katanya.

Selain itu, kata Anwar, semangat kebersamaan juga perlu ditingkatkan dalam mendokong antara satu dengan yang lain dalam suasana krisis pada hari ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!