Kluster Penjara Reman: Tujuh lagi positif adalah banduan

Kenderaan sedang membawa petugas KKM memasuki Penjara Reman Pulau Pinang hari ini. - Foto Bernama
Kenderaan sedang membawa petugas KKM memasuki Penjara Reman Pulau Pinang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Tujuh lagi individu positif koronavirus (Covid-19) yang disahkan semalam membabitkan Kluster Penjara Reman di Penjara Reman Pulau Pinang adalah banduan yang tinggal di dalam sel sama dengan lapan orang yang turut positif sebelum ini.

Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamed Jusoh Ismail berkata, kesemua mereka kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan dalam keadaan stabil.

"Tujuh lagi individu yang disahkan positif Covid-19 semalam merupakan banduan daripada sel sama dengan lelaki yang meninggal dunia pada 5 Oktober lepas dan tujuh (banduan) yang juga positif sebelum ini, setakat ini kami belum tahu punca bagaimana mereka dijangkiti penyakit itu.

"Mana-mana banduan atau petugas yang mempunyai kontak rapat dengan mereka (tujuh individu positif Covid-19) telah diasingkan serta dikuarantin dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 di dalam penjara," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ujian saringan Covid-19 ke atas banduan masih diteruskan dan sehingga semalam, kira-kira 1,000 banduan daripada 2,300 orang yang berada di dalam penjara telah disaring.

Mohamed Jusoh berkata, kesemua 320 petugas di Penjara Reman Pulau Pinang telah selesai menjalani ujian saringan Covid-19 dan tiada kakitangan yang didapati positif penyakit itu.

"Kami akan pastikan semua banduan yang berada di dalam penjara menjalani ujian saringan Covid-19. Saya bagi pihak Penjara Reman Pulau Pinang mengucapkan terima kasih atas kerja keras pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertungkus-lumus setiap hari memastikan mereka (banduan) menjalani ujian saringan," katanya.

Beliau berkata, sejak terdapat kes Covid-19 di Penjara Reman Pulau Pinang pada 5 Oktober, semua banduan baharu dihantar ke penjara sementara iaitu Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk dikuarantin terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati terdapat pergerakan kenderaan KKM membawa petugas mereka masuk ke dalam kawasan penjara untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas banduan seawal jam 8 pagi.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat tujuh lagi kes Covid-19 baharu membabitkan Kluster Penjara Reman direkodkan dan menjadikan keseluruhan sebanyak 15 kes termasuk banduan yang meninggal dunia pada 5 Oktober. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Kluster Penjara Reman hanya babitkan banduan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!