Gergasi Merah tekad julang Ifedayo

Ifedayo sudah merekodkan sembilan gol dalam saingan Liga Super setakat ini. - Foto FB FA Selangor
Ifedayo sudah merekodkan sembilan gol dalam saingan Liga Super setakat ini. - Foto FB FA Selangor
A
A
A

PELUANG Selangor untuk mengakhiri saingan CIMB Liga Super musim ini dalam kelompok tiga terbaik sudah tertutup tetapi skuad Gergasi Merah itu tetap mempunyai misi penting apabila berdepan Felda United di Stadium UiTM, Shah Alam malam ini.

Selain memburu kemenangan pada aksi terakhir liga itu, Selangor turut berhasrat meletakkan penyerang import berbisanya, Ifedayo Olusegun selaku pemenang anugerah Kasut Emas kali ini.

Pengurus Selangor, Mahfizul Rusydin berkata, Ifedayo masih berpeluang untuk mencabar bagi merebut anugerah tersebut berdasarkan rekod sembilan gol yang dijaringkannya setakat ini - kurang satu gol berbanding penyerang Perak, Shahrel Fikri Md Fauzi.

Justeru, Mahfizul berharap penyerang berusia 28 tahun kelahiran Nigeria itu dapat memberikan aksi terbaiknya bagi menggempur kubu Felda United malam ini, sekali gus menghadiahkan kemenangan buat Gergasi Merah.

“Sudah pasti kami akan berbangga jika Ifedayo muncul selaku pemenang anugerah Kasut Emas kerana semua itu hadir menerusi usaha kerasnya dan kerjasama sepasukan sepanjang musim ini.

“Bagi saya, Ifedayo seorang penyerang berkualiti kerana dia sentiasa memberikan komitmen 100 peratus di tengah padang walaupun ada ketikanya dia tidak menjaringkan sebarang gol.

“Jadi saya berharap dia dapat meneruskan rentak konsisten ini apabila kami memulakan cabaran pada kempen Piala Malaysia nanti. Jika dia meraih Kasut Emas, sudah tentu ia membakar lagi semangatnya untuk beraksi baik,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sejak era Liga Super mula diperkenalkan pada edisi 2004, Selangor berjaya menyambar dua kali anugerah Kasut Emas menerusi penyerang import - Rufino Segovia yang meledak 19 gol (2018) dan Paulo Rangel dengan 16 gol (2014).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mahfizul berkata, Gergasi Merah yang kini dibimbing pengendali sementara, Micheal Feichtenbeiner ekoran pemecatan B Sathianathan bulan lalu diingatkan agar tidak memandang rendah keupayaan Felda United.

“Sebaiknya-baiknya saya mahu melihat Selangor menutup kempen liga musim ini dengan kemenangan. Jadi para pemain harus fokus dan mengikut setiap arahan jurulatih untuk merealisasikan misi mengutip tiga mata penuh,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!