Empat cedera SUV terbakar selepas terlibat kemalangan
KLUANG - Empat individu berdepan detik cemas apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier yang dinaiki mereka terlibat kemalangan sebelum terbakar di Kampung MIC, Jalan Batu Pahat-Kluang di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penguasa Bomba Kanan II, Zaidi Tumiran berkata, dalam kejadian jam 7.36 pagi itu, Toyota Harrier berkenaan dipercayai telah berlanggar dengan SUV Toyota Fortuner sebelum tiba-tiba terbakar.
"Pemandu Toyota Harrier, Lai Woon Yun, 38, dan tiga penumpang terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita dewasa cedera dalam nahas itu.
"Mereka diselamatkan pengguna jalan raya yang membantu mengeluarkan keempat-empat mereka semasa SUV itu mula terbakar.
"Pemandu Toyota Fortuner, Zanariah Mohd Isa, 47, turut cedera dan kenderaan mengalami kerosakan dengan remuk teruk di bahagian hadapan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata lagi, seramai 11 anggota daripada BBP Kluang dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT), sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta sebuah Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.
Jelas Zaidi, setibanya di tempat kejadian pasukannya mendapati Toyota Harrier itu sudah terbakar 90 peratus, namun berjaya dikawal dalam tempoh tidak sampai lima minit.
"Empat mangsa dalam Toyota Harrier dihantar ke hospital berdekatan dengan menggunakan ambulans, manakala pemandu Toyota Fortuner dihantar ke hospital menggunakan EMRS BBP Kluang," katanya.
Dalam kejadian berlainan, sebuah kereta Nissan Sylphy dan sebuah motosikal jenis Honda Wave dilaporkan terbakar di parkir berhampiran sebuah stesen minyak di Bukit Pasir, Batu Pahat dekat sini pada jam 6.04 pagi tadi.
Ketua Operasi dari BBP Penggeram, Penguasa Bomba Kanan II Azman Surani berkata, 15 anggota dengan sebuah FRT, sebuah EMRS dan tiga unit RIM dikejarkan ke tempat kejadian.
"Nissan Sylphy sudah terbakar 80 peratus, manakala Honda Wave itu pula terbakar 70 peratus. Bomba memadam kebakaran dengan menggunakan dua aliran salur bantu mula dari jentera FRT BBP Penggaram.
"Kebakaran tidak melibatkan sebarang kecederaan atau mangsa. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, operasi tersebut tamat pada jam 6.46 pagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!