Jawatankuasa khas tangani kes gangguan seksual di tempat kerja

Chong Eng
Chong Eng
A
A
A

GEORGETOWN - Satu jawatankuasa khas diwujudkan bagi merancang dan melaksanakan garis panduan pengendalian kes gangguan seksual di tempat kerja dalam perkhidmatan awam di Pulau Pinang.

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Chong Eng berkata, jawatankuasa khas itu yang diketuai Pegawai Undang-undang Negeri akan memastikan prinsip tiada gangguan seksual di tempat kerja dalam perkhidmatan awam sebagai fokus utama.

Menurut Chong Eng, bagi tujuan itu, kerajaan negeri mengguna pakai garis panduan pengendalian kes gangguan seksual mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2018.

"Jawatankuasa berkenaan akan memperincikan struktur dan mekanisme apabila menerima kes gangguan seksual.

"Yang ditegaskan juga adalah pada setiap peringkat pengendalian, pegawai diberi tempoh tujuh hari untuk selesaikan tindakan, selain memastikan petunjuk prestasi utama (KPI) kes gangguan seksual tidak boleh dibenarkan melarat tanpa penyelesaian atau penutup," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Chong Eng berkata, gangguan seksual adalah perbuatan tidak bermoral dan melanggari batas-batas perhubungan serta nilai peribadi seseorang pegawai.

Kata beliau lagi, gangguan seksual menyebabkan suasana di tempat kerja menjadi tidak harmoni hasil perasaan takut, permusuhan, perasaan serba salah, tersinggung malah disakiti.

"Gangguan seksual adalah salah satu perlakuan yang dilarang atau ditegah sama sekali bagi pegawai awam mengikut peraturan 4A Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya seseorang pegawai awam didapati melakukan gangguan seksual, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuk amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pengerakan gaji, turun gaji, turun pangkat ataupun dibuang kerja," katanya.

Tambah Chong Eng, pengetahuan dan pemahaman tentang gangguan seksual perlu ditingkatkan melalui program kesedaran termasuk bengkel dan taklimat tentang maksud gangguan seksual, kesan terhadap mangsa, sokongan yang boleh diberikan serta tindakan yang boleh diambil jika gangguan seksual berlaku.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!