Bahan buangan cemari hutan paya bakau

Ravinder (dua, kiri) dan Mageswary (tengah) bersama beberapa wakil SAM serta CAP mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera menangani masalah pencemaran hutan paya bakau berkenaan.
Ravinder (dua, kiri) dan Mageswary (tengah) bersama beberapa wakil SAM serta CAP mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera menangani masalah pencemaran hutan paya bakau berkenaan.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Kerajaan Pulau Pinang digesa mengambil tindakan segera menangani masalah pencemaran sampah sarap di kawasan lapang berdekatan hutan paya bakau di Pekan Baru Batu Maung, di sini.

Ketua Biro Aduan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Ravinder Singh berkata, kawasan lapang berkenaan dijadikan tempat pembuangan sampah dan bahan terbuang pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, lebih mengejutkan, kawasan yang terletak kurang 0.5 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pernah terbakar dan turut membakar pokok bakau di pinggir hutan.

"Ini tanah kerajaan dan terletak bersebelahan Taman Perindustrian Bayan Lepas. Kami juga bimbang ia akan menjejaskan ekosistem hutan bakau yang terletak di belakang Institut Penyelidikan Malaysia.

"Pada asalnya, hutan paya bakau ini agak tebal tetapi kini hanya tinggal 20 hektar sahaja. DItambah masalah pencerobohan pihak tertentu yang membuang sampah di sini, ia menyebabkan 15 peratus kawasan hutan ini rosak dan tercemar," katanya, di sini hari ini.

Terdahulu, Ravinder bersama beberapa kakitangan SAM dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) membuat tinjauan dan mendesak pihak berkuasa agar mengambil tindakan segera ke atas masalah tersebut.

"Apa yang menghairankan, bagaimana lori keluar masuk ke kawasan ini tanpa ada yang membuat pemantauan sedangkan tanah ini di bawah Jabatan Perikanan.

"Adakah mereka tidak sedar atau sengaja buat tidak tahu dan bagaimana mereka melindungi kawasan hak milik kerajaan?

Artikel Berkaitan:

"Antara bahan yang dibuang adalah sisa konkrit; bahagian enjin kereta; sisa barang elektrik, tali nilon tebal dan sisa plastik. SAM percaya, dengan penemuan bahan-bahan ini, ia bukan usaha penambakan tanah sebaliknya dijadikan tempat pembuangan sampah haram," katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik CAP, S Mageswary berkata, tindakan segera wajar diambil memandangkan hutan paya bakau berkenaan merupakan kawasan hutan simpan.

"Hutan ini perlu dipelihara kerana ia satu-satunya hutan bakau yang masih ada di kawasan ini.

"Fungsi hutan ini juga penting iaitu mengekalkan kualiti air selain menapis bahan pencemar yang datang dari aktiviti sekitar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!