MNS perjelas tinjauan Sanusi di Hutan Simpan Ulu Muda
ALOR SETAR - Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) menyambut baik usaha Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor meninjau pengurusan pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda baru-baru ini.
Presidennya, Profesor Dr Ahmad Ismail berkata, ketika tinjauan Muhammad Sanusi didapati menyentuh isu seperti zon penampan dan jenis pokok tidak dibenarkan dalam aktiviti pembalakan.
"Nampak bagus, beliau sentuh tentang zon penampan, tebang pokok yang tidak dibenarkan untuk dibalak misalnya tualang, pengkelasan spesies kayu yang betul dan nilai komersial.
"Yang Amat Berhormat (Muhammad Sanusi) juga menyentuh tentang lebah yang penting dalam industri madu dan hutan. Dengan melihat sendiri, beliau sedia maklum mengenai hutan dan masalah hutan," katanya kepada media di sini hari ini.
Menurutnya, tindakan Muhammad Sanusi itu sekali gus membolehkan wakil kerajaan negeri menyaksikan sendiri kepentingan hutan simpan kepada Kedah dan wilayah utara Semenanjung.
"Inisiatif ini membolehkan kerajaan negeri memantapkan lagi perancangan pengurusan hutan yang ada serta menjamin bekalan air untuk penduduk di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis dalam sektor pertanian, industri, pelancongan termasuk kegunaan domestik," katanya.
Dalam pada itu, katanya, MNS mencadangkan perancangan pengurusan yang lebih mengambil kira definasi kawasan seperti tadahan air, sensitif alam sekitar kelas I dan taman negeri dilaksanakan.
"Sempadan Hutan Simpan Ulu di negeri itu perlu dilihat semula dengan mengambil kira dari segi kawasan tadahan air, legar hidupan liar, pembalakan, zon penampan bersesuaian mengikut tempat, ekopelancongan dan lain-lain untuk pemuliharaan Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda," katanya.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi melakukan tinjauan selama tiga hari ke Hutan Simpan Ulu Muda untuk melihat sendiri kawasan berkenaan sekali gus memantau keadaan aliran air.
Bagaimanapun, lawatan berkenaan disalah anggap netizen bahawa tindakan beliau melakukan lawatan ke Ulu Muda untuk menebang balak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!