Dengarlah juga suara hati guru Malaysia
[WAWANCARA] KEMAJUAN dan kemakmuran negara tidak mungkin dapat dicapai tanpa pengorbanan lebih 400,000 orang guru sekolah di negara ini yang setia menumpahkan keringat demi mendidik ratusan ribu anak bangsa setiap tahun.
Namun sebagai manusia, guru juga ada masalah dan rintihan mereka sendiri. Ini termasuk beban tugas yang semakin bertambah, ekspektasi berlebihan daripada ibu bapa selain suara mereka kurang didengari oleh para pembuat dasar.
Bagi Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock, sesi libat urus guru bersama pihak pembuat dasar merupakan elemen terpenting dalam usaha mengukuhkan sistem pendidikan negara bertaraf dunia di samping menjaga kebajikan komuniti pendidik tersebut.
Dalam wawancara Sinar Ahad minggu ini, Harry Tan turut menjelaskan inti pati perjuangan kesatuan itu dengan meletakkan harapan agar kerajaan tidak melihat NUTP sebagai kumpulan penentang atau penghasut.
Ikuti temu bual anak jati Melaka berusia 59 tahun itu bersama Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa dan wartawan Norhidayah Hairom.
SINAR AHAD: Anda dilantik menjadi Setiausaha Agung NUTP sejak tahun 2017. Apakah pembaharuan-pembaharuan yang dibuat sejak tiga tahun lalu?
HARRY TAN: Apabila saya diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan ini, saya telah kemukakan tiga hala tuju yang utama iaitu yang pertama, NUTP mahu capai sehingga 300,000 ahli. Kedua, meningkatkan profesionalisme, maksudnya ada lebih banyak latihan di tempat lebih sesuai. Ketiga, melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D). Ini kerana, sebagai sebuah organisasi, kita perlukan penyelidikan. Tanpa penyelidikan, organisasi akan menjadi dinosaur.
Dan dengan bangganya, saya boleh nyatakan hasil R&D terbaru NUTP. Kita telah melancarkan pedagogi penjarakkan fizikal. Biasanya kita ajar anak didik kita supaya bermasyarakat tetapi sekarang kita ajar mereka agar menjaga keselamatan diri terlebih dahulu sebelum menjadi anggota masyarakat.
Contohnya, tidak boleh kongsi makanan, tidak boleh bersalaman dan tidak boleh adakan aktiviti bersama. Jawatankuasa khas yang terdiri daripada ahli NUTP di institusi pengajian tinggi (IPT) dengan kerjasama pensyarah daripada Universiti Malaya (UM) dan beberapa orang profesor telah melahirkan beberapa pedagogi penjarakkan fizikal. Ini telah bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada April lagi.
Apakah cabaran-cabaran penting yang anda lalui sepanjang menjadi Setiausaha Agung NUTP?
Cabaran yang dihadapi adalah untuk mendapatkan pihak atasan bagi mengadakan sesi libat urus kerana mungkin mereka memikirkan kami adalah penghasut dan penentang. Tetapi kita profesional. Apabila diadakan sesi libat urus bersama pihak pembuat dasar, maka dasar yang dikeluarkan akan diterima umum, ada kebolehpercayaan dan dapat dilaksanakan dengan mudah. NUTP adalah wakil pekerja yang terbesar, kita adalah sebuah organisasi yang terbesar tetapi kadangkala mereka lihat kita sebagai penentang.
Bagaimana anda melihat perkembangan NUTP sejak dahulu hingga kini?
NUTP pada masa dulu lebih mementingkan isu periuk nasi iaitu naik pangkat, elaun, gaji. Sekarang kita bersyukur kerana kerajaan telah mengadakan satu sistem imolumen yang sangat baik untuk guru-guru. Kalau hendak bandingkan, kita hanya di belakang doktor dan jurutera dalam sistem penjawat awam. Jadi gaji kita memang lumayan. Tapi pada masa sama, masyarakat mengharapkan lebih daripada guru dan kita mesti memberikan yang terbaik untuk anak didik bangsa kita supaya kita boleh bersaing di persada antarabangsa bukan saja di negara kita.
Difahamkan satu daripada perjuangan NUTP adalah berhubung isu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Boleh jelaskan apa yang berlaku?
NUTP mengambil berat isu ini sejak 2017. Kita dapati ada beberapa kekangan yang menghalang negara ke arah lebih cemerlang dalam TVET. Salah satu sebab utama mengapa NUTP terlibat dalam isu ini adalah kerana tuntutan gaji minimum kepada kerajaan melalui Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
Kalau kita tuntut RM1,500 untuk kerajaan bayar kepada tukang sapu sudah tentu negara akan bankrap. Tetapi kalau tukang sapu itu menggunakan mesin, dia boleh servis mesin tersebut. Jadi berbaloi jika dia dibayar RM1,500. Untuk dia belajar servis mesin tersebut, dia mesti ada TVET. Jadi kita lihat ada tujuh kementerian yang melaksanakan TVET di negara kita. Masing-masing ada hala tuju tetapi pada masa sama, mereka menggunakan dana yang sama daripada belanjawan negara. Banyak kali kita lihat ada pertindihan.
Peruntukan terhad sebab TVET ini berubah dengan pantas mengikut teknologi terkini. Jadi anak didik kita tak boleh ikut kerana mereka mendapat pendidikan dengan kekangan peruntukan. Mereka tidak boleh beli peralatan terbaru.
Jadi apa yang kita cadangkan ialah kerajaan lihat semula pendidikan TVET di negara kita supaya betul-betul maju dan boleh bersaing contohnya dengan pendidikan TVET di Jerman. Kita juga menjelajah ke Thailand dan Indonesia. Mereka jauh meninggalkan kita. Contohnya, industri automotif di Thailand.
Kenapa mereka lebih maju daripada kita sedangkan kita yang mengeluarkan kereta?
Dari segi pertanian mereka juga lebih maju sedangkan kita sepatutnya lebih ke hadapan lagi. Di Kementerian Pendidikan sendiri, perlu lihat semula Akta Pendidikan 1996 yang fokus kepada akademik. Tetapi di kolej vokasional, mereka keliru sama ada nak ajar akademik atau kemahiran walaupun pihak atasan kata mereka belajar kemahiran, sedangkan mengikut akta mereka mesti belajar akademik.
Jadi apa yang berlaku kepada pelajar-pelajar TVET sebelum ini? Apakah ia seperti yang diharapkan?
Banyak permasalahan yang kita telah sampaikan kepada kementerian dan harap dapat diselesaikan. Isu-isu yang disampaikan itu sensitif. Contohnya, TVET sepatutnya dapat menarik pelajar terbaik di negara kita, contohnya pelajar-pelajar lepasan PT3 yang mendapat gred A,B,C tetapi hakikatnya jika pergi mana-mana kolej vokasional, majoriti pelajarnya ada yang gred D,E,F.
Maksudnya tidak memenuhi hasrat. Jadi NUTP rayu kepada pihak kementerian supaya lihat balik dasar ini agar pelajar yang mendapat gred D, E dan F yang tidak cenderung belajar akademik tetapi lebih cenderung untuk kerja-kerja pertukangan, diberi fokus ke arah itu.
Terdapat rintihan juga mengatakan guru terpaksa menjadi warden di sekolah untuk menjaga pelajar dari pagi hingga malam. Apakah pandangan NUTP mengenai perkara ini?
Tugas hakiki seorang guru adalah mengajar. Tapi sekarang mengajar bukan macam dulu. Sekarang mengajar bermula jam 7 pagi selalunya sehingga jam 4 petang. Ini adalah kerja sepenuh masa. Dulu mungkin separuh hari sahaja.
Jadi bila guru dijadikan warden, lepas tamat sekolah, dia kena kembali ke asrama untuk pantau pelajar asrama sehingga waktu tidur pelajar. Itu belum termasuk jika ada pelajar yang sakit, mereka ini juga yang perlu uruskan sedangkan esoknya jam 7 pagi sudah perlu berada di sekolah. Jadi, bolehkah dia menjadi seorang guru yang efektif? Sudah tentu tidak.
Jika ini berlaku, ibu bapa, pentadbir akan kata guru tidak buat kerja dengan betul. Ini menimbulkan masalah. Jadi NUTP merayu supaya kerajaan melantik warden sepenuh masa kerana warden sepatutnya perlu berada di asrama sepanjang masa.
Melantik guru sebagai warden boleh mencetuskan masalah. Apabila menjadi warden, imolumen guru akan berkurangan sebab mereka perlu duduk di asrama. Sedangkan lebih tinggi pangkat, lebih tinggi imolumen imbuhan tetap perumahan. Ini merugikan kerana tugas bertambah, tetapi pendapatan berkurang.
Menjadi isu lagi apabila lebih kurang 70 peratus guru di negara ini terdiri daripada kaum hawa dan mereka ada rumah tangga. Jika mereka dijadikan warden, apa yang akan terjadi kepada rumah tangga mereka? Semua orang akan tolak (tawaran jadi warden) dan pihak pentadbir akan pening kepala.
Ada juga sekolah asrama berdepan isu peruntukan. Contohnya, ikut kadar sepatutnya, seorang warden bagi setiap 50 penghuni asrama. Kalau 100 penghuni perlu dua warden. Tapi kalau ada 75 penghuni, hanya ada seorang warden. Jadi apakah ini efektif? Ini yang kita minta diberi perhatian.
Melantik warden dari luar pula boleh menambah beban kewangan kerajaan. Apakah itu puncanya perkara ini tidak dapat dilaksanakan?
Kerajaan perlu jawab soalan ini. Ini kerana setelah mereka bersaing dan bermati-matian untuk menjadi kerajaan, inilah tugas sebuah kerajaan iaitu membantu rakyat. Siapa yang hendak jadi kerajaan, mereka kena bantu permasalahan rakyat. Barulah boleh menjadi kerajaan yang kita semua hormati. Penekanan NUTP adalah melantik warden asrama sepenuh masa terdiri daripada orang tempatan, bukannya dari negeri luar kerana ia akan menimbulkan masalah. Saya rasa ramai yang sudi bantu seperti bekas perajurit atau pesara mahupun orang tempatan biasa.
Ramai yang meminta supaya taska diwujudkan di dalam kawasan sekolah berikutan 70 peratus guru terdiri daripada golongan wanita. Apakah pandangan NUTP?
Ini ialah cadangan daripada Biro Wanita NUTP dan permintaan ini dibuat sejak bertahun-tahun lalu. Pihak kerajaan mungkin lihat perkara ini ada masalah dari segi kewangan, perundangan dan sebagainya. Tapi kita mahu kerajaan beri perhatian yang sewajarnya kerana lebih 70 peratus guru-guru kita adalah wanita. Mereka berdepan masalah untuk mengasuh anak-anak mereka.
Untuk sekolah yang besar seperti ada 2,000 hingga 3,000 penghuni, mungkin kerajaan boleh wujudkan taska di dalam kawasan itu dengan kerjasama pihak swasta. Apabila anak-anak berada dekat dengan guru-guru wanita ini, mereka akan rasa lebih bersemangat.
Kita perlu ambil pengajaran kes seorang guru terlupa menghantar bayinya ke rumah pengasuh selepas menurunkan seorang lagi anak di taska, menyebabkan bayi itu meninggal dunia di dalam kereta.
Kes baharu Covid-19 yang semakin meningkat menyebabkan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) ditangguhkan, namun sekolah masih dibuka seperti biasa. Apakah pendirian NUTP?
Kita setuju dengan pihak kerajaan yang menutup sekolah-sekolah di kawasan zon merah. Kawasan bukan zon merah tertakluk kepada kementerian. Pada masa sama kita tak setuju jika nak ditutup semua sekolah di kawasan yang selamat. Ini kerana kita telah menjalankan kajian atau bancian pendidikan penjarakkan fizikal pada April lalu.
Daripada 10,500 responden guru, 93 peratus menyatakan bahawa mereka ingin mengadakan pengajaran bersemuka.
Jadi berdasarkan data itu, NUTP cadangkan kepada kerajaan bahawa kita setuju untuk tidak menutup sekolah. Kalau sekolah ditutup maka ramai yang akan terjejas bukan sahaja dari segi pendidikan tetapi dari segi kehidupan sosial masyarakat.
Ramai yang akan hilang kerja seperti pengusaha kantin, pengusaha bas sekolah, dan juga penjaja kecil di luar sekolah. Ini akan bawa masalah sosial lain. Tanggungjawab guru bukan sahaja untuk menjaga pendidikan tapi juga kesejahteraan masyarakat di negara ini.
Apakah isu-isu yang dibangkitkan guru-guru dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19?
Setakat ini guru-guru mematuhi dan tiada masalah untuk mereka memastikan pelajar patuh SOP, dengan menjaga penjarakkan fizikal, dan memakai pelitup muka.
Yang menjadi masalah adalah tugas mengisi borang-borang secara berlebihan. Bila orang kenamaan atau pegawai turun ke sekolah, mereka kena buat laporan-laporan. Ini akan mengganggu tugas hakiki mereka untuk mengajar. Kelas juga bertambah disebabkan SOP penjarakkan fizikal. Ini menambahkan tanggungjawab guru. Kerja-kerja yang tiada kaitan juga bertambah, contohnya perlu isi deskripsi tugas. Kerja-kerja ini akan mengganggu peranan hakiki sebagai seorang guru. Ini berlaku kerana tiada sesi libat urus kerajaan dengan NUTP.
Apakah harapan NUTP kepada Kementerian Pendidikan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi golongan guru?
Masalah guru adalah hal yang dinamik di mana ia akan berubah dari hari ke hari. Contohnya ketika pandemik Covid-19. Jadi NUTP merayu Kementerian Pendidikan agar mengadakan sesi libat urus dengan kita bagi mendengar permasalahan kita sebelum mereka buat keputusan muktamad.
Apabila ada sesi libat urus, kita dapat kurangkan permasalahan daripada berpolemik dalam akhbar. Namun, perkara ini amat kurang berlaku. Saya merasakan NUTP dianggap sebagai penghasut dan penentang sedangkan NUTP mewakili golongan profesional di mana kita boleh dibawa berunding. Hasrat kita adalah untuk menyampaikan permasalahan daripada akar umbi apabila sesuatu dasar hendak dilaksanakan. Kita bersama dalam satu bahtera menghala ke destinasi sama.
Guru merupakan penjawat awam yang paling ramai di negara ini. Adakah itu sebabnya NUTP merasakan kerajaan wajar memberi perhatian yang lebih kepada guru?Ya, selain badan beruniform, guru adalah penjawat awam terbesar dalam negara. Kerana itu kita mempunyai pelbagai masalah. Kita berhadapan dengan rakyat secara langsung. Bukan hanya ibu bapa tetapi juga anak didik dan masyarakat umum. Jadi perlu adakan banyak sesi libat urus. Pihak kerajaan mesti memberi kami laluan supaya dapat disampaikan kekangan kita, masalah-masalah kita dan perasaan tak puas hati kita supaya mereka boleh lihat dan buat dasar yang betul-betul dapat menaikkan status sistem pendidikan negara bertaraf dunia.
Bagaimana anda melihat NUTP sebagai sebuah organisasi penting untuk menjaga kebajikan guru-guru?
NUTP sekarang dalam proses transformasi. Kita buat lebih banyak penyelidikan dan pembangunan serta laksanakan libat urus dengan akar umbi. NUTP juga sentiasa relevan. Buktinya NUTP sering diburu oleh media, bukan hanya dalam negara tetapi juga media luar negara.
NUTP juga mengadakan hubungan baik di luar negara seperti Turki, Jepun, Korea, Australia dan Belgium. Jadi NUTP boleh menaikkan nama negara bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di persada dunia sejajar dengan hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Kita mahu rakyat sejahtera. Tetapi untuk mensejahterakan rakyat, saya rasa kunci utama adalah melalui pendidikan khasnya pendidikan TVET.
ANEKDOT
Pencetus penglibatan dalam kesatuan
Saya pernah mengajar di sebuah sekolah di Sarawak. Selepas enam tahun, saya balik ke Melaka dan mengajar di sebuah sekolah kebangsaan. Malangnya keputusan peperiksaan di sekolah baharu tersebut didapati menurun.
Pihak pentadbir menyalahkan guru semasa mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) diadakan. Tapi saya dan guru-guru lain merasakan kami telah melakukan apa yang sepatutnya dan itu bukan salah guru-guru. Jadi, kami telah membawa kes tersebut kepada pihak jabatan dan akhirnya guru besar tersebut ditukarkan.
Itulah yang mencetuskan hasrat saya untuk terlibat dalam kesatuan kerana saya tahu bila kita bersatu kita teguh, kita boleh lakukan banyak perkara.
NUTP sebagai sebuah keluarga besar
Pencapaian yang amat saya bangga adalah apabila NUTP menjadi sebuah organisasi besar dan selalu memperjuangkan nasib guru. Saya juga bawa pembaharuan kepada NUTP. Pada 2018, buat julung kalinya NUTP mengadakan hari keluarga untuk kakitangan. Bermakna NUTP bukan hanya memperjuangkan nasib guru tetapi kebajikan kakitangan juga terjaga seperti sebuah keluarga.
Masa untuk diri sendiri hanya selepas bersara
Untuk tempoh setahun ini, saya tidak ke mana-mana kecuali berada dalam dunia kesatuan. Apabila ada waktu lapang saya akan berehat tetapi dalam fikiran, saya hanya fikirkan aktiviti-aktiviti atau perkara baharu untuk anak buah saya supaya NUTP sentiasa maju. Tahun depan saya akan bersara, jadi saya akan dapatkan ruang untuk diri sendiri selepas bersara nanti.
HARRY TAN HUAT HOCK
JAWATAN SEKARANG: Setiausaha Agung NUTP
UMUR: 59 tahun (1961)
ASAL: Melaka
PENDIDIKAN: Sarjana Muda Pendidikan dalam Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL)
PENGALAMAN: Berkhidmat lebih 30 tahun sebagai seorang guru. Pernah berkhidmat di SK Nanga Entaih, SRB Methodist, Sarawak; SK Pantai Kundor, Melaka; SMK Infant Jesus Convent, Melaka dan SMK Ibrahim Yaakob
JAWATAN LAIN:
Timbalan Setiausaha Agung II Cuepacs
Naib Presiden Sektor Awam MTUC
Timbalan Setiausaha Majlis Bersama Kebangsaan Bagi Pekerja-pekerja Pengurusan dan Profesional
Ahli Lembaga Eksekutif Education International
Ahli Panel Tatatertib Majlis Perubatan Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!