THiJARI, info dan transaksi TH di hujung jari
KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) mengambil pendekatan proaktif memperkenalkan aplikasi THiJARI bagi memudahkan urusan 8.9 juta pendepositnya melakukan pelbagai transaksi hanya di hujung jari.
Bukan sekadar semakan baki akaun dan rekod transaksi, aplikasi itu juga membolehkan pendeposit melakukan pindahan simpanan akaun TH, mengemas kini profil serta muat turun dan mencetak penyata akaun.
Menariknya lagi, aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma di Google Play atau App Store ini memudahkan para pendeposit menyemak status pendaftaran haji, memuat turun slip pendaftaran haji, status tawaran haji, jadual penerbangan pergi dan balik serta semakan lokasi dan tarikh khusus berserta nota kursus asas haji.
Pengarah Eksekutif Operasi TH Mustakim Mohamad berkata, seiring namanya THiJARI, semua urusan berkaitan institusi kewangan Islam itu kini mampu dilakukan dengan mudah di hujung jari di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.
THiJARI adalah saluran tambahan kepada perkhidmatan kaunter dan dalam talian yang sedia ada di lebih 10,000 titik sentuh di seluruh negara.
"TH telah melancarkan portal web THiJARI pada Februari lepas dan sekarang kita lancarkan pula aplikasi THiJARI untuk kegunaan di telefon pintar dan tablet yang lebih cepat, selamat dan mudah diakses dengan hanya menggunakan cap jari atau imbasan wajah, selain didatangkan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris,” katanya.
Mustakim berkata, transaksi utama di THiJARI melibatkan pendeposit melihat baki akaun dan melakukan pindahan antara akaun dalam TH, namun bagi pengeluaran pula, pengguna aplikasi boleh melakukan transaksi melalui perkhidmatan dalam talian empat rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB.
Sebelum menggunakan aplikasi itu, pendeposit perlu terlebih dahulu mendaftar sebagai pengguna di laman web THiJARI (www.thijari.com.my) dengan memasukkan maklumat diri seperti nombor kad pengenalan, nombor akaun TH dan nombor telefon yang berdaftar dengan TH.
Pengguna kemudiannya perlu mengisi kata nama dan kata laluan, nama untuk paparan dan negeri terkini, serta memilih ikon atau gambar keselamatan pilihan bagi membolehkan aplikasi itu diakses iaitu kaedah dan ciri keselamatan sama seperti menggunakan perbankan Internet lain.
Bagaimanapun, urusan perkhidmatan lain seperti penutupan akaun TH, urusan pusaka serta pendaftaran penama dan hibah amanah tidak boleh menggunakan aplikasi THiJARI dan perlu berurusan di kaunter bagi proses verifikasi.
Sementara itu, Mustakim berkata, trend celik IT masa kini memperlihatkan penggunaan telefon pintar bukan sahaja dalam kalangan golongan muda tetapi juga yang berusia.
Berdasarkan statistik, beliau berkata, pendeposit TH yang berumur antara 18 hingga 55 tahun adalah lebih kurang 50 peratus dan yang di bawah 18 tahun pula mewakili kira-kira 30 peratus kumpulan pendeposit.
“Dalam kata lain, pendeposit yang berumur 55 tahun ke bawah adalah 80 peratus, maka TH perlu seiring dengan perkembangan teknologi dan perlu kekal relevan dalam penyampaian perkhidmatan kerana TH dipertanggungjawab menjaga dan menguruskan simpanan bakal jemaah haji,” katanya.
Beliau turut berharap 300,000 pendeposit masa kini yang menggunakan portal THiJARI akan turut menggunakan aplikasi itu seiring sasaran TH untuk meningkatkan penggunaannya kepada 500,000 pendeposit menjelang akhir tahun ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!