Padah beraksi bahaya di lebuh raya
KUALA LUMPUR - Polis menahan lima penunggang motosikal kerana melakukan aksi berbahaya dalam operasi berasingan dekat sini tengah malam tadi.
Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang penunggang motosikal dibuat kira-kira jam 12.50 tengah malam.
Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu dikesan melakukan aksi zig-zag dan menundukkan badan di Lebuhraya Sprint.
"Seterusnya, operasi Ops Samseng Jalanan kira-kira jam 2.30 pagi bertindak menahan dua penunggang motosikal selepas didapati menunggang dengan melakukan aksi superman, meniarap, zig-zag di Lebuhraya Persekutuan.
"Pada jam 2.30 pagi, dua lagi penunggang kemudian turut ditahan selepas melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya Persekutuan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati kesemua tangkapan adalah membabitkan kumpulan yang berbeza.
Katanya, lima penunggang bersama motosikal jenis Yamaha Y15ZR, Yamaha 135LC dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan IPD Shah Alam untuk tindakan lanjut.
"Kesemua suspek berusia 17 hingga 34 tahun disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!