Hospital Kota Marudu turut rawat Covid-19

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebagai langkah kesiapsagaan menghadapi peningkatan kes koronavirus (Covid-19) di Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperuntukkan Hospital Kota Marudu sebagai satu lagi hospital untuk merawat jangkitan itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, ini menjadikan keseluruhan tujuh hospital termasuk Hospital Queen Elizabeth, Hospital Wanita dan Kanak-kanak di Kota Kinabalu, Hospital Duchess of Kent di Sandakan, Hospital Tawau, Hospital Lahad Datu dan Hospital Keningau.

"Kesemua hospital ini dengan kapasiti keseluruhan 946 katil termasuk 66 untuk jagaan kritikal dan 170 alat bantuan pernafasan, diperuntuk merawat kes Covid-19 kategori tiga hingga lima," katanya menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga mengenal pasti enam lagi pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC), menjadikan jumlah keseluruhan 16 buah dengan kapasiti 3,876 katil bagi merawat kes tidak bergejala atau bergejala ringan (kategori satu dan dua) di negeri itu.

"Tambahan kemudahan ini menjadikan kapasiti katil bagi merawat pesakit Covid-19 di Sabah kini sebanyak 4,822 berbanding 2,596 katil sebelum ini," katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, sebagai langkah kesiapsiagaan hospital di pantai timur Sabah pula, KKM dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia bercadang mewujudkan hospital medan bagi menawarkan perkhidmatan obstetrik dan ginekologi, pediatrik serta pembedahan am kepada pesakit bukan kes Covid-19.

“Ini akan memberi lebih banyak ruang kepada Hospital Tawau untuk merawat kes Covid-19 kategori tiga hingga lima, manakala kes kategori satu dan dua akan terus ditempatkan di PKRC,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, untuk peringkat awal, hospital medan itu dirancang menyediakan 100 katil.

Artikel Berkaitan:

Setakat semalam, Sabah mencatatkan 3,841 kes Covid-19 dengan 11 zon merah iaitu Kota Belud, Tuaran, Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Papar, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau selain merekodkan 19 kluster. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!