Mayat nelayan bot karam dijumpai
BANTING - Sekumpulan pemancing menemukan satu mayat lelaki di Kelanang di sini pagi tadi yang dipercayai merupakan seorang nelayan yang hilang dalam satu kejadian bot terbalik pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, jasad Ab Rahman Mat Kasim, 66, dijumpai kumpulan pemancing terbabit di sekitar kawasan tersebut pada jam 10.45 pagi.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Nelayan Kelanang sebelum melakukan proses pengecaman oleh ahli keluarga.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat pada petang ini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Nelayan dikhuatiri lemas bot karam ketika merawai
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang lelaki terselamat, manakala ayahnya dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki mereka karam di Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat.
Anak mangsa berusia 40 tahun itu yang berpaut pada pelampung ditemui oleh sekumpulan pemancing yang melalui kawasan tersebut kira-kira jam 4.30 petang.
Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dijalankan sepasukan anggota bomba dan penyelamat, Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), anggota dari Balai Polis Tanjung Sepat selain penduduk kampung serta nelayan.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 3 minit 13 saat tersebar di media sosial menunjukkan sebuah bot dinaiki sekumpulan pemancing berjaya menyelamatkan mangsa yang berpaut pada pelampung.
Lebih menyedihkan, selepas mangsa dinaikkan ke atas bot, dia memaklumkan bahawa ayahnya, Ab Rahman hilang dan tenggelam dalam kejadian itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!