APMM selamatkan dua pemancing terkandas

Kedua-dua mangsa yang diselamatkan dari Pantai Pulau Telor, Yan pagi tadi oleh APMM tidak mengalami sebarang kecederaan. -Foto: ihsan APMM
Kedua-dua mangsa yang diselamatkan dari Pantai Pulau Telor, Yan pagi tadi oleh APMM tidak mengalami sebarang kecederaan. -Foto: ihsan APMM
A
A
A

ALOR SETAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan dua pemancing yang berdepan detik cemas apabila bot dinaiki mereka dipukul ombak dan terkandas di kawasan pantai Pulau Telor Yan, Kedah lewat petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, Maritime Rescue Sub- Centre (MRSC) Langkawi segera melancarkan operasi bantuan aset terhadap kedua-dua pemancing tersebut.

Menurutnya, mangsa, Chan Yew Ming berusia 47 tahun, dilaporkan keluar memancing bersama rakannya, Lee Kim Loon, 47 tahun dengan menaiki sebuah bot dari jeti Penang Swimming Club Pulau Pinang pagi semalam.

"Dalam kejadian petang semalam, bot mangsa dipercayai dipukul ombak dan terkandas di kawasan pantai Pulau Telor.

"Usaha menyelamat melibatkan sebuah bot milik APMM, yang turut berdepan cabaran kerana kawasan tersebut agak berbatu dan faktor air laut telah surut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anggota APMM membantu memindahkan mangsa yang selamat dari Pantai Pulau Telor, Yan pagi tadi. -Foto: ihsan APMM
Anggota APMM membantu memindahkan mangsa yang selamat dari Pantai Pulau Telor, Yan pagi tadi. -Foto: ihsan APMM

Mahmad Faizal berkata, operasi menyelamat disambung semula pada pagi ini dengan dibantu oleh sebuah bot nelayan tempatan yang turut terlibat membantu menunda bot mangsa.

Tambahnya, kedua-dua pemancing serta bot mereka berjaya diselamatkan pada jam 9.52 pagi dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan bot mereka juga tidak mengalami sebarang kerosakan.

Artikel Berkaitan:

"APMM mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca dan memastikan bot dalam keadaan baik.

"Mereka juga perlu membawa Personal Locator Beacon (PLB), maklumkan destinasi kepada ahli keluarga, membawa bekalan makanan secukupnya serta mengelakkan aktiviti di luar kawasan liputan telekomunikasi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!