Tiada lantikan pengurus besar bukan Islam hotel TH
SHAH ALAM - Lembaga Pengarah Tabung Haji (TH) menolak cadangan pelantikan seorang profesional bukan Islam sebagai pengurus besar sebuah hotel milik agensi itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah TH pada 1 Oktober lalu.
Menurutnya, pihaknya mengambil maklum maklum keresahan umat Islam berkenaan memo tular yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff mengenai cadangan tersebut.
"Ia adalah cadangan lantikan daripada pihak pengurusan tertinggi TH yang telah dibawa kepada Mesyuarat Lembaga Pengarah bagi mendapatkan kelulusan.
"Cadangan yang diangkat oleh CEO TH itu tidak pernah mendapat penglibatan atau dibawa ke sebarang perbincangan dengan pihak kami, Pejabat Menteri atau Timbalan Menteri sebelum dikemukakan kepada Lembaga Pengarah.
"Walau bagaimanapun, Alhamdulillah cadangan tersebut telah pun ditolak oleh pihak Lembaga Pengarah TH," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar beliau, dengan penolakan cadangan tersebut maka tidak berbangkit lagi soal lantikan terbabit.
Sehubungan itu, Ahmad Marzuk menjelaskan, secara tuntas dan muktamad bahawa tidak berlaku pelantikan pengurus besar bukan Islam sebagaimana dakwaan atau kegusaran sesetengah pihak.
"Saya ingin memaklumkan bahawa pihak pengurusan TH telah diarahkan untuk mengemukakan semula cadangan calon pengurus besar hotel yang baharu beragama Islam.
"Ini supaya lebih sesuai dan menepati visi dan roh institusi pelaburan kebanggaan umat Islam ini.
"Saya memberi jaminan bahawa keutamaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini bukan sahaja bagi memulihkan prestasi kewangan TH tetapi juga memastikan segala urus tadbir yang melibatkan institusi tersebut terjamin dari sudut kepatuhan syariah dan sensitiviti umat Islam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!