Wanita PH pilih Nicole Ketua PH Negeri Sembilan
SEREMBAN - Mesyuarat Majlis Pimpinan Wanita Pakatan Harapan Negeri Sembilan (PH NS) yang berlangsung malam tadi bersetuju memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon sebagai Ketua Wanita PH Negeri Sembilan yang baharu.
Ketua Penerangan Wanita PH Negeri Sembilan, Noraini Nordin berkata, sebelum ini jawatan tersebut diterajui Norwani Ahmat yang juga Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Negeri Sembilan.
"Pemilihan ADUN Kepayang itu bagi memastikan gerak kerja wanita yang dirancang terutama di bawah Power House Wanita Gemilang (PH Gem) dapat diselaraskan lebih tersusun ke setiap daerah secara lebih menyeluruh.
"Misi dan visi memperkasakan wanita negeri amat relevan seiring dengan tanggungjawab beliau (Nicole) sebagai Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, penstrukturan semula Majlis Pimpinan Wanita PH NS bagi tahun ini turut melantik Ketua Wanita Keadilan Negeri Sembilan, Amni Idris sebagai Timbalan Ketua Wanita PH NS dan Norwani Ahmat menyandang jawatan yang sama.
Mesyuarat kali ke empat yang berlangsung di Seremban itu turut memutuskan jawatan Ketua Penerangan Wanita PH disandang Ketua Penerangan Wanita Keadilan Negeri Sembilan, Noraini Nordin.
Mesyuarat berkenaan sepakat memfokuskan kepada nasib rakyat terutama wanita, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
Sementara itu, Nicole dalam ucapannya nekad memikul amanah dengan sebaiknya bagi memacu wanita PH NS terus maju dan cemerlang.
Tegasnya, peranan wanita wajar diperhebatkan lagi sejajar dengan usaha memartabatkan golongan itu dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan dan budaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!