Ahli Parlimen UMNO sokong Anwar Ibrahim?
SOLIDARITI Ahli Parlimen Pakatan Harapan dari PKR, Amanah dan DAP telah dinyatakan sebaik Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan ada majoriti pada 22hb September lalu. Aset solid 92 MP menjadikan blok PH DSAI sebagai terbesar berbanding blok-blok lain dari MF, PN dan GPS yang apabila digabungkan (MF+PN+GPS) mereka melebihi blok PH dengan lebihan yg tidak melepasi majoriti 114 vs108 = 222.
Jika 6 MP berpindah kerusi dari mana-mana blok selain PH, DSAI akan dapat 114 membentuk majoriti yang rapuh sama seperti TSMY. Apakah DSAI akan ambil risiko sekadar mengumumkan mendapat 6 atau 7 MP yang meletakkan kedudukannya rapuh seperti TSMY?
Di sinilah teka-teki bermula, berapa DSAI ada? DSAI membayangkan majoritinya kukuh, meyakinkan dan selesa. Dia juga menyebut majoriti MP bersamanya adalah Melayu Bumiputera. Siapa mereka yang Melayu Bumiputera? Kita tahu MP UMNO semua Melayu seramai 39 orang. Andaian yang mengatakan MP UMNO berpindah sokongan sangat tinggi, ini tidak termasuk MP PKR yang mungkin buat u turn meninggalkan DSAA.
Paling menarik ialah andaian sebilangan signifikan MP UMNO akan sokong DSAI. Pada sesetengah pihak ia seolah mustahil dan jika berlaku ia seolah mendedahkan 'kemarahan' penyokong tegar DAP, AMANAH dan PKR kerana 'berkrompomi' dengan musuh politik lama.
Jikalau andaian kita benar ada MP UMNO dalam senarai DSAI 13hb Oktober nanti, bagaimana kita perlu sediakan diri untuk memahami terlebih dahulu langkah DSAI ini? Bagi penyokong UMNO, AMANAH, PKR dan DAP bagaimana reaksi mereka, bagaimana pula reaksi pengundi yang lain?
Adalah penting untuk memahami beberapa perkara dalam kekusutan dan kebimbangan ini, iaitu;
a. DSAI memulakan langkah dengan keputusan Majlis Presiden PH pasca March 2020 yang memberikan kepercayaan penuh padanya memimpin dan mencari majoriti yang diperlukan untuk kembalikan mandat rakyat.
b. Masalah sedari awal ialah DSAI tidak ada majoriti Melayu dalam blok PH yang sangat penting dalam caturan politik Malaysia buat masa ini setelah TSMY menjalankan kerja 'scheme of things' disokong oleh DSAA. Majoriti Melayu dalam langkah DSAI adalah keperluan strategik dan realiti yang perlu ditangani dengan penuh berhikmah.
c. DSAI diingatkan sebagai panduan dari Majlis Presiden PH tentang prinsip teras seperti Integriti, Prinsip Hukum dan Ketelusan dalam menjalankan misi mendapat majoriti di Parlimen. Dengan kata lain sokongan hendaklah atas prinsip dan bukan syarat pada apa-apa kompromi dasar teras PH. Usaha mestilah berperinsip dan tidak menggadaikan maruah!
d. Sedari awal selama 22 bulan pemerintahan PH, prinsip yang kita tegaskan kepada sesiapa sahaja yang hendak menyertai blok PH dari MP UMNO hendaklah menyokong atas individu yang menerima prinsip dan dasar PH. Kita menolak kemasukan 'en block' iaitu masuk secara kelompok atas nama parti, kita hanya menerima kemasukan atas individu dari MP UMNO. Syarat itu tetap kekal kepada usaha pasca kejatuhan PH, tidak berubah dan kekal sebagai syarat sokongan.
Memahami perkara asas di atas akan menjawab kekeliruan dan spekulasi yang menjadi perbualan hangat selepas sidang media DSAI pada 22hb Sept lalu. Jika kita berpegang kepada panduan di atas, MP UMNO tidak mungkin masuk secara kelompok parti tetapi atas kapasiti individu-individu MP yang memilih menyokong tanpa syarat.
Penyokong PH dan pengundinya sangat sensitif dengan kelompok UMNO yang mereka tolak kerana gagal memelihara integriti dan amanah sebagai pemerintah. Skandal besar 1MDB, Felda, Mara, TH dikaitkan dengan kegagalan memelihara institusi Melayu lalu mereka ditolak. Menerima sokongan mereka hanyalah 'mensia-siakan' penolakan pengundi kepada UMNO dan PH dilihat bersengkongkol dengan UMNO. Ini perasaan yang real di kalangan PH. Manakala soalan yang real di kalangan UMNO pula ialah sanggupkah mereka MP UMNO bersengkongkol dengan.DAP yang sangat dibenci oleh UMNO?
Saya amat memahami perasaan ini dan kesukaran menerima realiti ini tetapi asas penerimaan sokongan dari MP UMNO saya yakin bukanlah atas penerimaan parti UMNO tetapi individu dari MP UMNO dari kalangan 222 MP yang memilih atas kapasiti individu. Apakah secara sukarela? Itu hanya terjawab pada 13 Oktober nanti jika benar DSAI dapat mengemukakan SD mereka yang menyatakan demikian.
Apabila ia pilihan individu, saya juga amat yakin ia bukan perjanjian parti dengan parti, yakni PH+UMNO dan kerana itu saya juga yakin DSAI tidak tertekan dengan apa sahaja tuntutan dari UMNO melainkan tuntutan membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan fokus kepada pengurusan krisis covid 19.
Bagaimana MP UMNO yang ada kes-kes di mahkamah? Apakah mereka diterima sebagai senarai penyokong DSAI? Bukankah nanti akan ada 'udang sebalik mee' sekurangnya sebagai balasan meringankan kes mereka?
Maaf, tulisan ini tiada jawapan, dalam hal ini analisis saya berhenti setakat ini sehinggalah 13 Oktober saya harap akan terdedah semuanya nanti. Pasca 13 Oktober lebih suspens dan menarik tetapi saya yakin istana lebih bijak dan berhikmah mengendalikan keadaan kerana kunci jawapan sebenar terletak nanti kepada hasil pertemuan bersejarah antara DSAI dan YDPA untuk menentukan halatuju negara dalam suasana sukar hari ini. Sama-sama kita doakan, semoga sukses.
**Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa ialah Naib Presiden Parti Amanah dan Ahli Parlimen Parit Buntar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!