Dua pekerja TM di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu positif Covid-19

Dua pekerja TM di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu positif Covid-19
Dua pekerja TM di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu positif Covid-19
A
A
A

KUALA LUMPUR - Telekom Malaysia Bhd (TM) hari ini mengesahkan dua kakitangannya yang masing-masing bertugas di Menara TM ONE di Damansara, Kuala Lumpur dan di pejabat Kepayan di Kota Kinabalu, Sabah, telah disahkan positif Covid-19.

Menerusi satu kenyataan hari ini, TM memaklumkan telah mengambil langkah-langkah proaktif bagi mengekang penyebaran virus serta memastikan keselamatan para pelanggan, anggota dan masyarakat.

Semua penghuni di Menara TM ONE juga telah diminta segera meninggalkan premis dan bangunan tersebut yang ditutup selama tujuh hari bagi proses nyahkuman dan sanitasi mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM).

Pejabat-pejabat TM di Sabah, Kedah dan kawasan-kawasan Zon Merah lain telah ditutup lebih awal sebagai langkah berjaga-jaga berikutan peningkatan kes terbabit sejak akhir-akhir ini, katanya.

Menurut syarikat itu, kedua-dua pekerja terbabit kini menjalani kuarantin dan dirawat di fasiliti kuarantin dan perubatan kerajaan.

“Barisan pengurusan dan seluruh anggota TM mendoakan agar mereka cepat sembuh dan pulih seperti sediakala,” katanya.

Susulan dua kes positif itu, pengesanan kontak rapat secara terperinci sedang dilakukan oleh KKM, dengan bantuan Pasukan Tindak Balas Krisis Covid-19 TM bagi mengenal pasti dan memaklumkan mereka yang mempunyai kontak rapat dengan mereka terlibat.

Kontak rapat yang dikenal pasti itu akan dihubungi oleh KKM bagi tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut TM, bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan untuk para pelanggannya, kalangan kakitangannya di negeri-negeri dan kawasan-kawasan terbabit telah kembali bekerja dari rumah dengan memanfaatkan saluran-saluran digital serta mekanisme produktiviti dalam talian.

Selain itu, TM turut memberi jaminan bahawa petugas-petugas fungsi kritikal (pusat panggilan, pasukan lapangan untuk pemasangan dan baik pulih perkhidmatan) akan terus bertugas dengan mematuhi protokol dan garis panduan keselamatan kerajaan serta syarikat itu.

“TM ingin mengingatkan semua pihak agar terus mengamalkan penjarakan sosial, penjagaan kebersihan dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pada setiap masa sepertimana dinasihatkan oleh kerajaan,” katanya.

Selain itu, TM juga telah dan akan terus melaksanakan langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan kesihatan dan keselamatan para pelanggan, pekerja dan komuniti setempat.

Pada Mac lepas, Menara TM ONE telah diletakkan di bawah sekatan pergerakan sementara berikutan satu kes disyaki positif Covid-19 membabitkan kakitangan TM yang dikesan menerusi ujian awal. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!