16 bangunan kerajaan jadi wad hospital tambahan
KOTA KINABALU - Sebanyak 16 bangunan kerajaan dijadikan wad hospital tambahan manakala tujuh lagi hospital kerajaan sedia ada dijadikan sebagai hospital untuk merawat pesakit pandemik koronavirus (Covid-19).
Pertambahan wad hospital itu susulan peningkatan kes positif Covid-19, di mana Sabah hari ini mencatatkan sebanyak 488 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 4,330 kes.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, bilangan kes positif Covid-19 yang memerlukan rawatan semakin meningkat.
"Oleh itu, sebanyak 16 bangunan kerajaan telah dijadikan sebagai wad hospital tambahan dan tujuh hospital kerajaan yang sedia ada dijadikan sebagai Hospital Covid-19.
"Pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan membuka Hospital Hybrid di Semporna dan Hospital Medan di Tawau yang beroperasi sebagai hospital biasa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bangunan kerajaan yang dijadikan wad hospital tambahan adalah Kampus Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Kota Kinabalu, Kompleks Sukan Likas, Dewan Kompleks Sukan Ranau, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Tawau (Kejururawatan) dan Kompleks Penjara Tawau.
Selain itu, turut dijadikan wad adalah Kompleks Sukan Tawau, Dewan Arena Belia Tawau, Projek Perumahan Rakyat Bubul Ria Semporna, ILKKM Sandakan dan Dewan Arena Belia Kunak.
Begitu juga KB Resthouse Kota Belud, Pusat Latihan Kecemerlangan Koperasi Kinarut, Dewan Selagon Beaufort, Projek Perumahan Rakyat Batu Putih Sandakan, Dewan Masyarakat Keningau dan Projek Perumahan Rakyat Taman Seri Sapagaya.
Bagi hospital sedia ada yang dijadikan sebagai Hospital Covid-19 adalah Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas di Kota Kinabalu; Hospital Duchess of Kent di Sandakan; Hospital Tawau; Hospital Lahad Datu; Hospital Keningau dan Hospital Marudu.
Terdahulu, Masidi yang juga Menteri Kewangan II berkata, bagi membendung penularan pandemik Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kota Belud akan dilaksanakan mulai esok hingga 26 Oktober ini selepas daerah itu menjadi zon merah semalam.
Sementara itu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diperketatkan (PKPBD) akan dilaksanakan di Taman Khazanah Indah dan Program Perumahan Rakyat (PPR) Mutiara Kasih, Lahad Datu mulai esok hingga 26 Oktober ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!