Jual album tambah dana tahfiz
IPOH - Pusat Tahfiz Al-Ulya di Manjoi di sini mengambil inisiatif menambah dana bagi menampung kos operasi pusat pendidikan berkenaan menerusi jualan album bertajuk Bismillah.
Album mini memuatkan lima lagu itu dinyanyikan sendiri Pengerusi Jawatankuasa Tahfiz Al-Ulya, Mohd Azhar Abd Latif dan mendapat sentuhan pemuzik tempatan iaitu pemain seruling terkenal, Muhardiman Ismail atau Mohar serta pemain gitar kumpulan Exists, Along.
Mohd Azhar berkata, penjualan album mini berkenaan diharap dapat membantu keperluan pusat tahfiz itu yang kekurangan dana terutama dalam urusan bayaran gaji guru serta penyelenggaraan asrama.
Pada ketika ini, katanya, sumber pendapatan utama pusat tahfiz adalah melalui yuran bulanan yang dibayar ibu bapa, namun jumlah sekitar RM30,000 yang dikutip daripada 60 pelajar itu masih belum mencukupi memandangkan pembiayaan sebenar yang ditanggung mencecah hampir RM50,000 sebulan.
“Kekurangan RM20,000 itulah yang kami cari dan cuba cukupkan.
“Sebelum ini, saya buat jualan pada setiap ceramah untuk tambah dana. Dengan adanya album itu dapatlah dijadikan satu lagi inisiatif menambah dana sedia ada.
“Sekurang-kurangnya nanti bila bayaran yuran masuk, tidaklah terus habis kita gunakan. Ada juga simpanan untuk kita bayar gaji guru dan kos penyelenggaraan pusat ini,” katanya ketika ditemui pemberita sempena majlis pelancaran album Bismillah di sini kelmarin.
Majlis berkenaan disempurnakan kartunis terkenal, Datuk Mohammad Nor Khalid atau Datuk Lat.
Sebagai permulaan, sebanyak 1,000 set album berkenaan disediakan untuk jualan. Orang ramai boleh mendapatkannya di semua platform media sosial pada harga RM20 manakala bagi edisi terhad berharga RM45.
Mohd Azhar berkata, semua lagu yang dimuatkan dalam album itu adalah karyanya sendiri bersama rakan-rakan dengan lirik yang ditulis lebih berunsurkan nasihat serta menzahirkan rasa kesyukuran kepada ALLAH.
“Mereka yang terlibat dalam usaha pembikinan album ini tidak mengenakan sebarang bayaran, semuanya dicurahkan semata-mata ingin membantu pencarian dana pusat tahfiz ini.
“Jadi besarlah harapan saya agar album ini mendapat sokongan semua dan dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Pusat Tahfiz Al-Ulya dahulunya dikenali sebagai Unit Tahfiz Al-Quran Al Barakah di bawah kendalian Datuk Mohd Kazim Elias sebelum diambil alih oleh pengurusan baharu pada 2018.
Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat di laman sosial Facebook Tahfiz Al-Ulya atau menghubungi talian 017-481 9629.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!