Presma persoal kaedah polis tahan dua pekerja
SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mempersoal tindakan polis menahan dan memasukkan ke dalam lokap dua orang pekerja di sebuah restoran di Putrajaya kerana tidak memakai pelitup muka dengan sempurna sewaktu bertugas.
Sumber Presma mengakui pekerja tersebut melakukan kesalahan tetapi menahan dan membawa kedua-duanya ke balai polis dan berada dalam lokap ibarat mereka melakukan jenayah berat.
"Pada hari kejadian, dua pekerja tersebut tidak memakai pelitup muka dengan sempurna di mana seorang memakainya di bawah dagu dan seorang lagi di bawah hidung. Kita akur kerana mereka salah dan mengapa tidak hanya dikeluarkan kompaun.
"Saya juga menyokong jika polis membawa mereka ke balai polis untuk memberikan penjelasan, nasihat dan kemudiannya dikeluarkan kompaun atas kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
"Akan tetapi menggari dan memasukkan mereka ke dalam lokap sementara menunggu perbicaraan mahkamah dilihat seperti satu jenayah berat," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, kesan daripada tindakan tersebut menyebabkan operasi restoran tersebut terganggu kerana kekurangan pekerja.
"Apabila pekerja tidak cukup restoran terpaksa ditutup sementara waktu. Ia memberi kesan kepada pengusaha untuk menampung kos dan membayar hutang. Akhirnya ia boleh membawa kepada kesan lebih buruk seperti meminjam wang daripada peminjam wang haram," katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, isu-isu seumpama itu bakal menyebabkan Malaysia menerima impak buruk susulan laporan berhubung layanan terhadap pekerja atau buruh asing di negara ini.
"Jika berlaku perkara seumpama ini, ia memberikan imej buruk kepada negara jika Pertubuhan Buruh Antarabangsa PBB (ILO) mengeluarkan laporan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali ketika dihubungi berkata, kedua-dua pekerja tersebut bukan warganegara dan penahanan mereka di bawah kesalahan imigresen.
"Bagi kesalahan imigresen, individu atau suspek memang akan ditahan bagi pengesahan. Kesalahan mereka boleh ditangkap dan bukan kesalahan saman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!