Rupa-rupanya gelaran ‘Datuk’ daripada Facebook
KATA seorang rakan Merak Jalanan, sekarang ini tak susah kalau nak dapatkan title Datuk atau Datuk Seri. Katanya, tak perlu tunggu Yang di-Pertuan Agong atau Sultan atau Yang di-Pertua Negeri kurniakan pun.
Merak Jalanan hairan, takkan begitu mudah. Untuk mendapat gelaran Datuk, perlu melalui proses penilaian daripada pihak istana dan kebiasaan diberikan kepada individu-individu yang mempunyai jasa kepada negara ataupun kepada negeri.
“Create je satu akaun Facebook. Kemudian letak title Datuk atau Datuk Seri pada pangkal nama. Comfirm orang akan panggil kita Datuk atau Datuk Seri. Orang bukan nak siasat pun. Asalkan jangan letak Tun saja,” terangnya sambil menjawab mesej WhatsApp.
Patutlah sekarang ini bersepah individu yang ada title Datuk atau Datuk Seri. Rupanya palsu. Bukan dapat secara rasmi tetapi suka-suka letak dalam Facebook untuk kepentingan peribadi.
Nak dapat daripada istana tak layak. Nak beli, duit tak ada. Sebab Merak Jalanan mendapat cerita, untuk title ‘Datuk’ ada pihak kena sediakan sebanyak RM250,000. Biasanya hanya ahli perniagaan kaya yang sanggup bayar. Ini bukan rahsia lagi.
Oleh kerana belum ada jasa dan tak ada wang, letaklah saja title Datuk di Facebook. Bagi Merak Jalanan, ini perbuatan yang sangat memalukan. Tak tahulah apa nak jadi dengan orang kita.
Hari ini gelaran Datuk sudah macam gelaran Encik zaman dulu. Ramai sangat. Orang putih kata a dime a dozen.
Kalau kita baling batu ia akan kena kepala Datuk. Melantun kena Datuk juga, malah ada yang akan kena lima atau enam kali sebab mereka ada lima atau enam gelaran Datuk.
Merak Jalanan harap pihak berkuasa mengambil serius perkara ini dan mengambil tindakan yang tegas untuk membendung penyalahgunaan gelaran Datuk palsu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!