Industri penerbangan terus tenat

MAS yang berusia 73 tahun memiliki 13,000 kakitangan.
MAS yang berusia 73 tahun memiliki 13,000 kakitangan.
A
A
A

MALAYSIA Airlines Bhd (MAS), AirAsia Group Bhd, Air Asia X Bhd, Firefly dan Malindo Air adalah antara nama-nama besar syarikat penerbangan tanah air.

Gahnya nama MAS kerana syarikat penerbangan itu ibarat duta penerbangan negara, manakala AirAsia pula dengan tagline ‘semua orang boleh terbang’ menjadi syarikat penerbangan paling popular bukan sahaja di Malaysia bahkan benua Asia.

Bagaimanapun, sehebat mana pun gelaran yang dipegang, tempoh 10 bulan tahun ini adalah zaman paling gelap bagi industri penerbangan negara dan seluruh dunia.

Burung-burung besi kini hanya terdiam kaku di landasan dan tidak lagi bebas berterbangan seperti dahulu angkara pandemik Covid-19.

Sewaktu awal gelombang pertama dan kedua serangan Covid-19, Malaysia Aviation Group (MAG) iaitu syarikat induk kepada MAS dan beberapa syarikat di bawahnya melaksanakan langkah pengurangan gaji sebanyak 10 peratus serta elaun pengurusan kanan bagi menangani permintaan lemah perjalanan udara akibat pandemik itu.

Biarpun selepas tujuh bulan pandemik Covid-19 melanda negara, ketika pelbagai sektor lain kembali rancak mencorakkan ekonomi, industri penerbangan masih belum mampu untuk kembali bernafas termasuklah MAS yang telah melaksanakan langkah pengurangan gaji.

Bahkan kerajaan melalui Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memutuskan tidak akan menyuntik sebarang dana kepada MAS dan pada masa hadapan syarikat penerbangan itu diserahkan sepenuhnya kepada Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) bagi menyusun strategi untuk memastikan kelangsungannya.

Dua hari lalu, MAS mengambil langkah drastik untuk memastikan ia dapat bernafas sekurang-kurangnya dalam tempoh 18 bulan mendatang. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Kapten Izham Ismail mengesahkan syarikat itu sedang membuat rancangan penyusunan semula perniagaan dan modalnya yang terbaru.

Artikel Berkaitan:

Rancangannya adalah untuk menyusun semula perniagaan dan modal syarikat penerbangan itu selama lima tahun dan mencapai tahap balik modal pada 2023. Langkah ini dengan andaian bahawa permintaan pasaran domestik dan Asia Tenggara kembali ke tahap pada tahun 2019 dalam suku kedua dan ketiga 2022.

Gulung tikar

Biarpun tampil dengan rancangan yang mampu menyelamatkan MAS, Izham berdepan tugas sukar meyakinkan syarikat-syarikat pemiutang yang berpusat di Amerika Syarikat dan Eropah untuk menyokong penyusunan semula itu.

Akuinya, kumpulan itu tidak akan ‘mempunyai pilihan selain menutupnya’ sekiranya syarikat pemberi pinjaman dan pajakan memutuskan untuk tidak menyokong rancangan penyusunan semula tersebut.

“Ada pemiutang yang sudah setuju. Ada yang lain masih menolak, dan sebilangan lain masih 50:50.

“Saya perlu mendapatkan (sokongan) yang 50:50 bersama mereka yang sudah setuju. Saya faham ada sejumlah besar pemiutang yang setuju,” kata Izham dalam temu bual bersama portal mingguan The Edge semalam.

Syarikat penerbangan menerima impak kerugian bisnes yang paling dahsyat akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia. - AFP
Syarikat penerbangan menerima impak kerugian bisnes yang paling dahsyat akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia. - AFP

Agensi berita antarabangsa Reuters melaporkan MAG menyatakan dalam surat kepada syarikat pemajak bahawa kumpulan itu mungkin tidak dapat membuat pembayaran hutang selepas November 2020 kecuali ia menerima pembiayaan tambahan daripada Khazanah Nasional.

Menurut surat itu, MAG secara purata memerlukan peruntukan operasi tunai bulanan sebanyak AS$84 juta (RM347.6 juta) tetapi ia hanya mempunyai kecairan AS$88 juta (RM364.2 juta) setakat 31 Ogos dan tambahan AS$139 juta (RM575.2 juta) daripada Khazanah, satu-satunya pemegang sahamnya.

Pakar penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff melihat situasi yang dialami oleh MAS itu tidak akan sampai ke tahap gulung tikar walaupun MAS kehabisan tunai.

Untuk mengurangkan liabilitinya, Abdul Rahmat menjangkakan MAS akan melakukan pengecilan jumlah pesawat yang dioperasikan oleh syarikat penerbangan yang mempunyai laluan ke destinasi antarabangsa.

Selain itu, MAS perlu membuat pengubahsuaian pesawat kepada mod kombinasi dengan keutamaan diberikan kepada pengangkutan kargo dengan jumlah penumpang yang lebih kecil untuk penerbangan antarabangsa.

“Mungkin tidaklah sehingga gulung tikar. Pengurangan jumlah pekerja dan aset akan menjadi pilihan pertama, diikuti dengan pengurangan pengoperasian pesawat, barulah diikuti penggabungan dengan lain-lain syarikat yang mempunyai mod pengoperasian dan model perniagaan yang hampir serupa.

“Syarikat-syarikat ini perlu juga bersedia untuk era pasca-Covid-19 walaupun kita belum nampak lagi pengakhirannya dan Khazanah perlu melihat semula keperluan jumlah pesawat yang sesuai untuk keadaan sekarang dan jangka masa pendek,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Liabiliti

Namun, sekiranya ada pihak merasakan hanya MAS mempunyai masalah yang besar akibat Covid-19, mereka sebenarnya silap! Ini kerana AirAsia Group Bhd dan Airasia X Bhd yang beroperasi di lebih banyak negara dan mempunyai kakitangan melebihi 24,000 orang menghadapi masalah yang lebih besar.

Buktinya ia telah menghentikan operasi AirAsia di Jepun dan wujud spekulasi mengenai nasib yang sama bakal menimpa syarikat itu di India, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Lebih tragis, syarikat penerbangan tambang rendah itu juga mengesahkan bahawa ia terpaksa memberhentikan 10 peratus daripada keseluruhan 24,000 tenaga kerjanya pada minggu lalu.

Pemberhentian kerja itu merupakan kali kedua dilakukan selepas 250 kakitangannya diberhentikan pada awal Jun lalu akibat penularan pandemik Covid-19.

Bercakap semasa sesi temu bual dalam program berita sebuah televisyen pada 9 Oktober lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menegaskan, langkah pemberhentian pekerja itu terpaksa dilakukan berikutan realiti sektor penerbangan yang sukar pulih dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, kumpulan penerbangan itu bakal beroperasi dengan skala yang lebih kecil untuk mengurangkan liabilitinya selepas ini, namun AirAsia akan berusaha untuk menyelamatkan seberapa banyak kakitangan yang diberhentikan.

Izham Ismail
Izham Ismail

Awal bulan ini, AirAsia X pula mengumumkan pelan penstrukturan semula hutang apabila liabiliti tidak bercagarnya berjumlah RM9.2 bilion (pada 30 Jun 2020) dikurangkan menjadi RM200 juta, mewakili pengurangan sekitar 98 peratus.

Pelan itu yang dijangka selesai menjelang akhir suku tahun kewangan akan datang bertujuan menyelamatkan syarikat itu daripada ditutup.

Sementara itu, seorang juruterbang AirAsia yang enggan namanya didedahkan berkata, biarpun senarai nama 10 peratus kakitangan yang bakal ditamatkan itu telah diketahui dalam kalangan pekerja, tetapi situasi sukar industri penerbangan sekarang tetap menimbulkan rasa tidak selamat dalam kalangan kakitangan yang masih berkhidmat.

Ini kerana, tegasnya, banyak penerbangan domestik AirAsia ke Sabah kini dibatalkan kerana Negeri Di Bawah Bayu itu sedang bergelut dengan gelombang ketiga penularan virus Covid-19.

“Kami masih rasa tidak selamat. Kita tidak tahu bila pandemik ini akan berakhir,” kata juruterbang itu yang mempunyai pengalaman lebih 13 tahun bersama AirAsia.

Paling merisaukan, katanya, tidak mustahil pihak pengurusan akan mengambil tindakan pengecilan operasi sekali lagi.

“Kami perlu bersedia untuk segala kemungkinan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!