Program 2U2I persediaan mahasiswa tempuh alam pekerjaan
KUALA LUMPUR - Pelaksanaan konsep pembelajaran yang menggabungkan dua elemen iaitu program dua tahun pembelajaran di universiti dan dua tahun latihan industri (2U2I) dapat mempersiapkan mahasiswa menempuh alam pekerjaan setelah tamat pengajian.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pendekatan yang dipelopori agensi di bawah kementerian melalui Institut Keusahawanan Negara (Insken) itu menyediakan platform latihan serta bimbingan yang memberikan ilmu secara akademik (teori) dan praktikal.
"Saya percaya pembelajaran berterusan berlaku bukan sahaja di dalam ruang lingkup bilik kuliah sahaja malah penempatan di industri akan memberi pembelajaran berterusan secara amali.
"Medac menyokong dan menggalakkan 2U2I sebagai mekanisme terbaik untuk menyiapkan para mahasiswa ke pasaran pekerjaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, perkara yang berkonsepkan seperti itu dinyatakan pada sesi perbincangan berhubung penubuhan Kolej Universiti Koperasi dengan pihak iCoop baru-baru ini
"Medac melalui inisiatif protege memulakan penempatan mahasiswa di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta bagi mengasah bakat, memberi pendedahan dan meningkatkan kebolehpasaran mereka.
"Ini amat penting bagi membuka peluang yang lebih luas dan membantu meningkatkan jaminan peluang pekerjaan kepada para siswazah dan belia Malaysia," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!