Wanita hamil terlibat kes curi di pasar raya direman sehari
BATU GAJAH - Seorang wanita yang sarat hamil sembilan bulan direman sehari bagi membantu siasatan kes curi di sebuah pasar raya dekat Lebuh Dewangsa di sini.
Pada Sabtu lalu, kira-kira jam 4 petang, wanita berusia 20 tahun itu dipercayai telah mencuri sebuah beg pinggang dipercayai milik seorang pekerja pasar raya tersebut sebelum menyembunyikannya di dalam baju mengandung.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan, suspek bersama suaminya berusia 29 tahun masuk ke pasar raya berkenaan sebagai pelanggan.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua mereka beredar dari tempat kejadian sebaik berjaya mendapatkan beg itu yang di dalamnya berisi wang tunai RM130 dan sebuah telefon bimbit.
"Bertindak atas maklumat, kedua-dua mereka berjaya ditahan di sebuah rumah di Desa Changkat di sini pada tengah malam tadi dan kesemua barangan yang dicuri dirampas kecuali wang tunai RM130.
"Hasil soal siasat awal, kedua-dua mereka mengaku terlibat dalam kes berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, semakan lanjut mendapati pasangan itu mempunyai beberapa rekod lampau termasuk kes curi.
"Polis telah mendapatkan perintah reman selama sehari ke atas wanita terbabit.
"Sementara suaminya yang bekerja sebagai kelindan lori direman selama tiga hari sehingga Rabu ini mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!