Semua banduan Penjara Reman selesai ujian saringan
GEORGETOWN - Semua banduan di Penjara Reman Pulau Pinang selesai menjalani ujian saringan Covid-19 semalam.
Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamed Jusoh Ismail berkata, kira-kira 2,300 orang telah selesai menjalani ujian saringan itu dan pihaknya masih menunggu keputusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, kira-kira 20 orang petugas penjara yang merupakan kontak rapat kepada banduan yang disahkan positif akan menjalani ujian saringan kedua hari ini.
"Ujian saringan pertama mendapati kira-kira 20 petugas tersebut negatif.
"Bagaimanapun, perbincangan kami dengan pihak KKM hari ini telah bersetuju untuk buat ujian saringan kedua supaya kita dapat pengesahan yang lebih tepat," katanya ketika dihubungi tadi.
Dalam pada itu, Mohamed Jusoh mengesahkan seorang lagi banduan disahkan positif Covid-19 semalam menjadikan jumlah keseluruhan banduan yang disahkan positif adalah 19 orang.
Menurutnya, jumlah itu termasuk seorang banduan yang meninggal dunia pada 5 Oktober lalu.
"Seorang banduan yang disahkan positif semalam adalah dari sel yang lain daripada mereka yang disahkan positif sebelum ini. Ini adalah banduan pertama dari sel berbeza.
"Bagaimanapun, banduan itu tinggal di sel lain tetapi di blok yang sama dengan 18 banduan lain yang positif termasuk yang meninggal dunia pada 5 Oktober lalu. Oleh itu, kita telah mengambil tindakan segera dengan mengasingkan serta kuarantin mereka yang tinggal di dalam sel yang sama dengannya," katanya.
Mohamed Jusoh berkata, semua banduan yang disahkan positif berusia dalam lingkungan 25 hingga 65 tahun itu berada dalam keadaan stabil.
"Semua kontak rapat mereka yang sedang dikuarantin juga berada dalam keadaan baik.
"Selain itu, proses sanitasi masih diteruskan di dalam kawasan penjara dan ia dijalankan oleh kakitangan penjara dengan kerjasama pasukan KKM," katanya.
Sebelum ini, 17 banduan yang tinggal di dalam sel yang sama dengan banduan yang meninggal dunia disahkan positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan banduan yang disahkan positif adalah 18 orang (termasuk si mati).
Bagaimanapun, tiada petugas penjara yang disahkan positif membabitkan Kluster Penjara Reman itu.
ARTIKEL BERKAITAN:
Kluster Penjara Reman hanya babitkan banduan
Kluster Penjara Reman: Tujuh lagi positif adalah banduan
Kluster Penjara Reman: Tiga banduan sel sama sah positif
Banduan meninggal dunia kerana Covid-19
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!