'Ingatkan sampah rupanya kedai terbakar'
JASIN - Seorang peniaga kedai runcit sedih apabila perniagaan keluarganya sejak empat generasi lalu musnah dijilat api dalam kebakaran di Kilometer 13.5 Jalan Muar - Melaka semalam.
Chong Chi Wei, 28, terkejut apabila dihubungi rakan kira-kira jam 7.30 malam dan memaklumkan kedai warisan keluarganya terbakar.
"Saya terus keluar dari rumah di Telok Mas ke Umbai tetapi malang kedai sudah terbakar kira-kira 80 peratus.
"Kedai ditutup awal setiap Ahad iaitu pada jam 12.30 tengah hari," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Seorang saksi Muhammad Harith Daniel Helmi,18, yang mengusahakan perniagaan pakaian bundle bertentangan dengan rumah kedai lama itu menyangkakan asap dari pembakaran sampah tetapi terkejut selepas beberapa kali mendengar letupan dari arah deretan kedai termasuk kedai yang menjual peralatan logam dan membaiki motosikal.
Muhammad Harith Daniel berkata, dia yang ketika itu berada di hadapan kedai nampak api menjulang tinggi sebelum seorang penunggang motosikal yang kebetulan melalui kawasan berkenaan menghubungi talian kecemasan.
"Saya cuba untuk keluarkan barang dari kedai tapi bahang panas. Lagipun struktur bangunan papan menyebabkan api lebih cepat merebak," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, anggota dari Balai Umbai meminta tiga penghuni warga emas keluar dari bangunan lama itu.
Menurutnya, polis juga menutup jalan di hadapan lokasi kejadian bagi memudahkan bomba melakukan kerja-kerja memadamkan kebakaran selain memastikan orang awam yang melihat kejadian itu mematuhi arahan dengan menggunakan pelitup muka.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan difahamkan forensik bomba masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kejadian," katanya.
Terdahulu Sinar Harian menyiarkan enam buah rumah kedai sederet dua tingkat di pekan Umbai di sini, musnah dalam kebakaran yang berlaku lebih kurang jam 7 malam tadi.
ARTIKEL BERKAITAN: Enam kedai di Pekan Umbai terbakar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!