Status Mendy legakan Chelsea

Mendy ketika aksi liga menentang Crystal Palace di Stamford Bridge pada 3 Oktober lalu.
Mendy ketika aksi liga menentang Crystal Palace di Stamford Bridge pada 3 Oktober lalu.
A
A
A

CHELSEA boleh menghela nafas lega selepas penjaga gol The Blues, Edouard Mendy memberi jaminan akan berusaha kembali cergas kepada tahap prestasinya menjelang aksi menentang Southampton pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu ini.

Menurut bekas penjaga gol kelab Ligue 1, Rennes itu, beliau kini sedang menjalani rawatan rapi Cobham bagi memastikannya kembali pulih bagi berdepan The Saints yang kini berada pada kedudukan ke-11 liga.

"Ya, saya akui mengalami kecederaan semasa sesi latihan bersama skuad Senegal sebelum ini, namun saya akan berusaha kembali pulih segera dengan bantuan pasukan perubatan kelab.

"Saya percaya mampu kembali pulih dan cergas sepenuhnya menjelang perlawanan pada minggu ini. Terima kasih atas sokongan semua penyokong Chelsea," katanya.

Skuad kendalian Frank Lampard sebelum ini berdepan kemungkinan kehilangan khidmat Mendy selepas Persekutuan Bola Sepak Senegal memaklumkan pemain berusia 28 tahun itu terpaksa disisihkan daripada menjalani latihan skuad kebangsaan pada Jumaat selepas mengalami kecederaan.

Situasi menimpa Mendy itu sebelum ini menimbulkan keraguan kemampuan anak buah Lampard menjelang kunjungan The Blues ke Stadium St Mary's pada 17 Oktober ini diikuti kempen Liga Juara-Juara menentang Sevilla (20 Oktober) sebelum berkunjung ke Old Trafford menentang Manchester United.

Lampard berkemungkinan besar terpaksa menggunakan semula khidmat Kepa Arrizabalaga dalam ketiga-tiga perlawanan itu biarpun penjaga gol muda Sepanyol berusia 26 tahun berkenaan mendapat kritikan hebat penyokong Chelsea selepas gagal mempamerkan prestasi terbaiknya di Stamford Bridge.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!