19 Ahli Parlimen dijangkiti Covid-19, Indonesia kini 336,716 kes

Kali terakhir DPR Indonesia yang dianggotai 575 ahli Parlimen itu bersidang ialah pada 5 Oktober lepas ketika meluluskan Undang-undang Omnibus Law Cipta Kerja. - Foto sumber internet
Kali terakhir DPR Indonesia yang dianggotai 575 ahli Parlimen itu bersidang ialah pada 5 Oktober lepas ketika meluluskan Undang-undang Omnibus Law Cipta Kerja. - Foto sumber internet
A
A
A

JAKARTA - Sembilan belas Ahli Parlimen Indonesia disahkan positif Covid-19, ketika republik itu hari ini mencatatkan 3,492 kes positif baharu dalam tempoh 24 jam.

Menurut Sekretaris General Dewan Perwakilan Rakyat, Indra Iskandar, seramai 42 lagi petugas di Parlimen atau Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) itu turut dijangkiti virus berkenaan.

Bercakap kepada media tempatan hari ini, Indra melahirkan kekhuatiran akan bertambahnya lagi ahli Parlimen yang positif virus berkenaan.

Kali terakhir DPR Indonesia yang dianggotai 575 ahli Parlimen itu bersidang ialah pada 5 Oktober lepas ketika meluluskan Undang-undang Omnibus Law Cipta Kerja yang turut menyebabkan berlakunya demonstrasi bantahan kepada kelulusan undang-undang itu dan rusuhan di kota Jakarta dan beberapa kota lain pada 8 Oktober lepas.

Pada Jumaat lepas, seorang ahli Parlimen daripada Parti Gerindra, Soepriyatno meninggal dunia akibat virus berkenaan.

Berdasarkan data yang disiarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) dalam laman Twitter rasminya @BNPB_Indonesia hari ini, kes positif keseluruhan di republik itu kini meningkat kepada 336,716 kes, manakala jumlah kematian keseluruhan sebanyak 11,935 orang.

Provinsi Jakarta masih mencatatkan jumlah kes positif keseluruhan tertinggi di republik berkenaan iaitu 88,174 iaitu tambahan 1,211 kes positif baharu dalam tempoh 24 jam.

Namun, provinsi Jakarta dibenar kembali laksana fasa transisi (pemulihan) Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) selama dua minggu mulai hari ini, yang antaranya membenarkan kembali beberapa aktiviti sosioekonomi.

Artikel Berkaitan:

Gabenor Jakarta Anies Baswedan dalam satu kenyataan menyatakan PSBB akan kembali dikuatkuasakan sekiranya kes positif harian kembali meningkat mendadak, terutamanya kebimbangan terhadap berlakunya kluster baharu berkaitan demonstrasi di ibu kota Jakarta baru-baru ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!