Ramai rakyat Korea Selatan hidap sakit bawa maut pilih mati bermaruah
SEOUL - Lebih 35,000 pesakit yang menghidap penyakit bawa maut memilih untuk tidak menjalani rawatan bagi memanjangkan hayat sejak Korea Selatan membenarkan hak untuk mati secara bermaruah, lapor agensi berita Yonhap memetik data kerajaan pada Rabu.
Undang-undang itu berkuat kuasa pada 4 Februari tahun lepas, membenarkan pesakit untuk tidak menjalani empat rawatan "bagi memanjangkan hayat yang sia-sia" dengan menghentikan atau menangguhkannya.
Menurut data Kementerian Kesihatan dan Kebajikan, jumlah pesakit yang memilih untuk mati tanpa menerima sebarang rawatan lanjutan antara 4 Februari tahun lepas dan 28 Januari tahun ini adalah 35,431.
Pesakit lelaki berjumlah 21,291 manakala bakinya adalah wanita.
Hampir 68 peratus enggan menjalani rawatan bagi memanjangkan hayat, dengan persetujuan daripada sekurang-kurangnya dua anggota keluarga.
Empat kaedah itu -- resusitasi kardiopulmonari, ventilasi tiruan, hemodialisis dan pengambilan ubat anti-kanser -- hanya bertujuan memanjangkan hayat tanpa tujuan rawatan.
Menangguhkan rawatan bagi memanjangkan hayat bermakna pesakit yang menghidap penyakit yang membawa maut tidak menerima sebarang rawatan dari awal.
Data itu juga menunjukkan lebih sedikit daripada sejumlah 16,000 pesakit yang menghidap penyakit yang boleh membawa maut setakat ini mendaftar dengan pihak berkuasa untuk mati secara bermaruah tanpa menerima sebarang rawatan lanjut.
Sejumlah 113,000 orang telah mendaftarkan surat hasrat kepada hospital dan pertubuhan awam yang berkaitan untuk berhenti menerima rawatan sebaik sahaja mereka menghidap penyakit yang boleh membawa maut.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!