England lulus cemerlang

Aksi Mount (kiri) ketika berdepan pemain pertahanan Belgium, Timothy Castagne pada aksi di Stadium Wembley.
Aksi Mount (kiri) ketika berdepan pemain pertahanan Belgium, Timothy Castagne pada aksi di Stadium Wembley.
A
A
A

PENGENDALI England, Gareth Southgate memuji corak permainan dipamerkan barisan pertahanan The Three Lions ketika melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas Belgium pada aksi Liga Negara-Negara UEFA di Stadium Wembley awal pagi semalam.

Malah, bekas Southgate mengakui bahawa skuad kendaliannya berjaya mengharungi perlawanan dengan baik biarpun berdepan cabaran sengit daripada pasukan nombor satu dunia itu.

“Secara jujur semua pemain telah lulus ujian berdepan Belgium. Bukan sekadar lulus tetapi lulus dengan cemerlang. Belgium terutamanya jentera serangan mereka sebenarnya sejak awal lagi menghadirkan masalah besar kepada bahagian pertahanan kami.

“Namun, perkara itu kami sedar sejak awal lagi sebelum perlawanan dan pemain-pemain berjaya mengikuti arahan taktikal yang diberikan kepada mereka dengan sempurna.

“Apa pun saya akui bahawa perlawanan menentang Belgium bukanlah satu perlawanan mudah, sebaliknya tiga mata yang diperoleh adalah hasil disiplin dan komitmen tinggi pemain-pemain England,” katanya.

Dalam aksi tersebut, Southgate melakukan sembilan perubahan dalam kesebelasan utama termasuk menyisihkan Jack Grealish yang sebelum itu mengetuai England membelasah Wales 3-0 pada aksi persahabatan di venue sama minggu lalu.

Tindakan berani Southgate mempertaruhkan lima pemain pertahanan termasuk menggandingkan trio - Kieran Trippier, Kyle Walker dan Trent Alexander-Arnold bagi mengekang jentera serangan Belgium yang diketuai Romelo Lukaku.

Dalam pada itu, Walker memuji karakter dipamerkan rakan-rakan sepasukannya sambil menganggap motivasi Southgate pada waktu rehat telah memberi semangat kepada The Three Lions.

Artikel Berkaitan:

“Kami bertahan dengan baik dan itulah yang harus anda lakukan apabila berdepan pasukan seperti Belgium ini. Mereka memberikan banyak masalah kepada kami pada babak pertama.

"Tetapi Southgate sentiasa memberikan kata-kata semangat kepada kami untuk memberikan persembahan terbaik. Akhirnya kami mampu mencipta kemenangan pada perlawanan ini,” ujarnya.

England terlebih dulu ketinggalan apabila Lukaku meledak gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-16. Bagaimanapun, England bangkit mencipta dua gol hasil jaringan Marcus Rashford menerusi sepakan penalti pada minit ke-39 dan Mason Mount (64).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!