Institusi pendidikan di seluruh Sabah, Selangor, KL, Putrajaya ditutup

Pengawal Keselamatan Sekolah Kebangsaan Petaling Jaya, Paramasivan Kupusamy, 58, memasang notis ‘Sekolah Ditutup’ susulan peningkatan kes Covid-19 di Daerah Petaling. - Foto Bernama
Pengawal Keselamatan Sekolah Kebangsaan Petaling Jaya, Paramasivan Kupusamy, 58, memasang notis ‘Sekolah Ditutup’ susulan peningkatan kes Covid-19 di Daerah Petaling. - Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) ingin merujuk pengumuman Menteri Kanan Pertahanan pada 12 Oktober 2020 berkaitan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berkuatkuasa pada 13 Oktober 2020 di seluruh negeri Sabah dan pada 14 Oktober 2020 di seluruh negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Selaras dengan pengumuman tersebut, semua institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM termasuk tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, Kolej Vokasional dan Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam negeri Sabah ditutup bermula 13 Oktober 2020 hingga 26 Oktober 2020.

Keputusan ini akan melibatkan sebanyak 1,336 buah institusi dengan sejumlah 511,349 murid dan pelajar termasuk institusi yang telah ditutup di daerah-daerah yang dikenakan PKPB sebelum ini.

Bagi negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya pula, semua institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM termasuk tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, Kolej Vokasional, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) akan ditutup mulai 14 Oktober 2020 hingga 27 Oktober 2020.

Penutupan ini akan melibatkan 1,088 institusi pendidikan dan sejumlah 935,984 murid dan pelajar di negeri Selangor termasuk sekolah-sekolah di mukim Klang dan Petaling yang telah ditutup lebih awal. Selain itu, penutupan ini juga melibatkan 344 buah institusi pendidikan serta sejumlah 254,639 murid dan pelajar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; serta 29 buah institusi pendidikan dengan sejumlah 31,917 murid dan pelajar di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Penutupan ini juga akan melibatkan institusi pendidikan di bawah KPM yang mempunyai asrama. Justeru, ibu bapa atau penjaga boleh mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang.

Walau bagaimanapun, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa, atau yang ingin terus kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama. Keperluan makan dan minum murid atau pelajar sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak institusi pendidikan.

Bagi ibu bapa atau penjaga yang hanya dapat mengambil murid atau pelajar dari asrama semasa tempoh PKPB, mereka perlulah memaklumkan kepada pihak institusi pendidikan dan seterusnya pentadbir akan mengeluarkan surat kepada ibu bapa atau penjaga. Ini adalah sebagai rujukan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka perlu merentas daerah untuk mengambil murid atau pelajar pulang dari asrama.

Bagi murid-murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang telah dijadualkan disepanjang tempoh PKPB, mereka hendaklah mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

Artikel Berkaitan:

Pembelajaran bagi murid dan pelajar sepanjang tempoh penutupan juga perlu diberi perhatian. Justeru, pentadbir institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru atau pensyarah serta murid atau pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah. Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!