Nagorno-Karabakh belum bertemu damai
STEPANAKERT, Azerbaijan - Satu gencatan senjata antara Armenia dengan Azerbaijan di Nagorno-Karabakh gagal untuk dikuatkuasakan semalam dengan kedua-dua belah pihak menuduh antara satu sama lain meningkatkan pertempuran sengit dan 'bedilan bom' di kawasan penduduk awam.
Kedua-dua pihak sebelum ini telah bersetuju untuk menghentikan permusuhan dan melakukan pertukaran para tahanan dan mayat dalam pertempuran selama dua minggu di wilayah tersebut.
Wilayah itu dihuni oleh etnik Armenia di dalam negara Azerbaijan yang menempatkan kira-kira 150,000 orang.
Kementerian Luar Azerbaijan berkata, tentera Armenia yang 'mengebom' semalaman di bandar kedua terbesar di Nagorno-Karabakh, Ganja sehingga menyebabkan tujuh orang meninggal dunia dan 33 lagi cedera termasuk kanak-kanak.
Kejadian itu berlaku kurang 24 jam selepas kedua-dua pihak sepatutnya menghentikan pertempuran.
Beberapa anggota penyelamat yang memakai topi merah menggali celah-celah runtuhan dengan menggunakan tangan bagi mencari mangsa-mangsa yang terselamat, kata wartawan AFP.
Mereka turut berjaya menarik keluar satu mayat dan meletakkannya ke dalam beg putih untuk dibawa menaiki ambulans manakala sejumlah penduduk melihatnya dan ada yang sebak.
Seorang penduduk berkata, mereka terjaga disebabkan satu letupan besar yang meratakan sebuah blok kediaman dan dua buah rumah pada awal pagi.
Ia juga mengakibatkan sembilan unit apartmen runtuh.
"Apa yang saya telah lakukan selama hidup saya telah musnah," kata seorang penduduk, Zagit Aliyev, 68.
Gencatan senjata itu yang mana Rusia menjadi perantara sepatutnya dikuatkuasakan pada waktu tengah hari pada Sabtu lalu tetapi kedua-dua pihak saling manyalahkan antara satu sama lain.
Semalam, Kementerian Pertahanan Nagorno-Karabakh menegaskan tentera Armenia menghormati gencatan senjata itu.
Ia mendakwa kenyataan bahwa tentera Armenia bertanggungjawab membedil Ganja sebagai satu penipuan dan menuduh Azerbaijan pula melakukan bedilan di kawasan yang dihuni ramai penduduk awam.
Pemimpin Nagorno-Karabakh, Arayik Harutyunyan menggambarkan keadaan di wilayah itu sebagai tenang semalam tetapi menyatakan gencatan senjata tersebut berada dalam keadaan berbahaya.
Kejadian pertempuran terbaharu itu yang terburuk sejak perang tahun 1990an, dilaporkan telah mengakibatkan lebih 450 orang terbunuh dan ribuan lagi telah melarikan diri dari rumah mereka. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!