Orang ramai serbu pasar raya
SHAH ALAM - Orang ramai mula membuat pembelian barang-barang keperluan asas sebagai persediaan untuk menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai Rabu ini.
Hasil tinjauan Sinar Harian mendapati antara barang keperluan yang dibeli di pasar-pasar raya sekitar Shah Alam ialah ayam, ikan, sayur dan beras.
Difahamkan jumlah pelanggan yang datang untuk membeli-belah di pasar raya terbabit lebih tinggi berbanding pada hari-hari yang lain.
Peningkatan jumlah pelanggan itu turut dilaporkan di beberapa pasar raya lain di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Menurut seorang peguam, Sarmalah Pachappan, 42, dia agak terkejut apabila mendapati ramai pengunjung yang membeli barangan keperluan berbanding hari-hari lain.
“Semasa saya ke pasar raya hari ini, saya tidak menjangka kehadiran ramai pengunjung di sini.
“Saya berpandangan masyarakat tidak perlu melakukan pembelian tergesa-gesa kerana tempoh PKPB hanya dua minggu. Lagipun, kerajaan masih membenarkan orang ramai untuk membeli barangan keperluan harian," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Hari ini, kerajaan melaksanakan PKPB di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula jam 12.01 tengah malam, 14 Oktober hingga 27 Oktober ini.
PKPB akan turut dilaksanakan di seluruh Sabah berkuat kuasa 12.01 tengah malam ini hingga 26 Oktober ini.
ARTIKEL BERKAITAN: PKPB dilaksana di seluruh Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya
PKPB di seluruh Sabah bermula tengah malam ini
Keputusan dibuat selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes serta penularan yang berlaku seperti di Klang, Petaling dan Gombak.
Antara aktiviti-aktiviti yang dilarang adalah seperti pergerakan keluar masuk atau merentas daerah. Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.
Selain itu, hanya dua orang dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan, semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi adalah ditutup.
Masjid dan rumah ibadat bukan Islam lain adalah ditutup selain semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan adalah tidak dibenarkan. Pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan.
Sementara itu, seorang pesara, Saw Eu Gene, 45, berkata, dia kini lebih bersedia sekiranya kerajaan mengambil langkah yang lebih ketat bagi mengekang penularan Covid-19.
“Untuk hari ini, saya hanya membeli barangan keperluan seperti biasa sebab saya sudah bersedia untuk menghadapi PKPB sebelum ini," ujarnya.
Bagi seorang penjawat Awam, Saiful Azri, 28, dia juga sudah bersedia dan telah menjangkakan berlakunya gelombang baharu dalam penularan Covid-19 di negara ini.
“Untuk kali ini, kita sudah bersedia untuk menghadapi PKPB. Duit yang disimpan semasa tempoh moratorium juga banyak membantu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!