Petronas Yamaha SRT tekad bangkit di Sepanyol
PRINSIPAL Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali yakin pelumbanya, Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli, akan bangkit semula daripada kekecewaan mereka di Perancis untuk menghadapi dua perlumbaan seterusnya di Grand Prix (GP) Aragon dan GP Teruel di Litar Aragon di Sepanyol, bulan ini.
Razlan menegaskan dia masih berpuas hati dengan prestasi Quartararo di GP Perancis yang berlangsung di Litar Le Mans, semalam yang menyaksikan pelumba itu sekadar meraih tempat kesembilan (46 minit 11.423 saat), namun berjaya mengekalkan kedudukan teratas carta Kejuaraan Dunia MotoGP dengan 115 mata selepas sembilan perlumbaan.
Pelumba Sepanyol, Joan Mir dari Team Suzuki Ecstar dan pelumba Ducati Team Andrea Dovizioso dari Itali, yang menduduki tempat ke-11 dan keempat di GP Perancis, masing-masing meraih kedudukan kedua dan ketiga selepas mengumpul 105 mata dan 97 mata.
"Malangnya Franco terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal selepas menghadapi masalah teknikal,” beliau dipetik sebagai berkata dalam laman web pasukan, www.sepangracingteam.com.
"Kami masih mendahului kedudukan kategori pelumba dan pasukan (dengan 170 mata) menjelang perlumbaan di Aragon, walaupun kami sedar dua perlumbaan berkenaan dijangka lebih sukar tetapi kami akan terus memberikan aksi terbaik,” kata Razlan.
Morbidelli berada di tempat keenam dengan 77 mata walaupun gagal untuk menamatkan perlumbaan.
GP Aragon akan berlangsung dari 16 hingga18 Oktober manakala GP Teruel dari 23 hingga 25 Oktober ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!