Rugi RM1,588 terbeli kenderaan ATV tidak wujud
KUANTAN - Hasrat seorang mekanik untuk memiliki dua kenderaan lasak jenis ATV berkesudahan hampa apabila kenderaan yang dibeli pada harga RM1,588 itu disyaki tidak wujud.
Mangsa berusia 35 tahun mendakwa gagal menerima kenderaan tersebut seperti dijanjikan apabila 'penjual' menyekat panggilan dan tidak dapat dihubungi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa melihat iklan penjualan kenderaan melalui Facebook, 4 Oktober lalu sebelum menghubungi 'penjual' melalui aplikasi WhatsApp.
"Pada hari sama, mangsa membuat pembayaran RM1,588 untuk dua kenderaan ATV itu ke akaun bank atas nama seorang lelaki," katanya melalui satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Wazir berkata, mangsa menghubungi suspek semalam untuk mengetahui perkembangan berhubung kenderaan berkenaan namun gagal dihubungi.
"Mangsa juga mendapati suspek telah menyekat akaun Facebook dan nombor telefonnya dan mengesyaki telah ditipu. Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Maran semalam," katanya.
Mohd Wazir berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!