Semua sekolah kelolaan JAIS ditutup
SHAH ALAM - Semua sekolah di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ditutup sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penutupan bermula esok sehingga 27 Oktober ini melibatkan institusi pendidikan swasta berdaftar yang mempunyai asrama dan ibu bapa disaran mengambil anak mereka di asrama sekolah masing-masing.
Bagaimanapun katanya, jika ada pelajar yang mahu terus kekal di asrama, pihak institusi perlu memastikan keselamatan dan kebajikan mereka diberi perhatian sepenuhnya.
"Pemantauan juga perlu memfokuskan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh PKPB," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, kerajaan mengumumkan bakal melaksanakan PKPB di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa 12.01 tengah malam ini hingga 27 Oktober 2020.
Dalam pada itu, Mohd Shahzihan berkata, pentadbir institusi pendidikan juga diarahkan memastikan guru dan pelajar masing-masing melaksanakan pembelajaran di rumah dengan kaedah yang bersesuaian.
"Sesi pembelajaran bagi pelajar sepanjang tempoh PKPB juga perlu diberi perhatian oleh para guru," katanya.
Sebelum ini, JAIS telah mengarahkan sesi persekolahan di semua sekolah kelolaan mereka dalam daerah Petaling ditangguhkan mulai semalam sehingga ada sebarang arahan baharu dikeluarkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!