Lelaki saman bandar Galveston RM4.16 juta
HOUSTON - Seorang lelaki berketurunan Afrika Amerika yang ditangkap oleh dua pegawai polis berkulit putih Texas bertindak menyaman pihak bandar raya Galveston sebanyak AS$1 juta (RM4.16 juta), kata peguam belanya kepada AFP semalam.
Ini berikutan salah seorang daripada anggota polis itu telah mengggunakan seutas tali bagi 'mengawalnya' ketika dia berjalan.
Donald Neely ditahan kerana melakukan pencerobohan pada Ogos 2019 oleh dua pegawai polis yang menggarinya dan mengikat seutas tali pada badannya dan membiarkannya berjalan kaki sementara mereka menunggang kuda.
Imej lelaki berkulit hitam itu kemudian mencetuskan kemarahan dan ada yang menyatakan ia sebahagian daripada detik paling 'gelap' dalam sejarah perkauman ganas di Amerika Syarikat (AS).
Neely dibiarkan berjalan kaki melalui beberapa buah bangunan di bandar raya tepi pantai di tenggara Texas itu melepasi sejumlah orang ramai yang sebahagiannya merakamkan gambar kejadian tersebut.
Salah satu gambar tersebut menjadi tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan kerana ia mengaibkan seorang tahanan lelaki.
Dalam satu tuntutan mahkamah yang difailkan pada 7 Oktober lalu, Neely menganggap layanan polis itu sebagai ekstrem dan melampaui batas.
"Neely berasa seperti dia dijadikan bahan pameran sebagai seorang hamba," kata tuntutan undang-undang tersebut.
Ia juga menyatakan plaintif menderita kerana mengalami penghinaan dan ketakutan melalui tindakan polis tersebut.
Justeru, Neely mahu mendapatkan ganti rugi sebanyak AS$1 juta.
"Apa yang berlaku ke atas Neely adalah salah," kata peguam belanya, Julie Ketterman kepada AFP.
"Dia mahu melakukan apa yang termampu untuk memastikan ia tidak berlaku lagi ke atas sesiapa sahaja," ujarnya.
"Neely mahu orang ramai mengetahui bahawa tuntutan undang-undang itu bukan sahaja mengenai wang. Ia adalah mengenai siapa yang salah dan betul untuk semua orang sama ada mereka berkulit hitam atau putih atau sama ada mereka mengalami masalah mental atau sama ada mereka tidak mempunyai rumah atau tidak," katanya.
Ketika ditahan, Neely yang mengalami masalah kesihatan mental itu tidak mempunyai rumah.
Dia ditemui tidur di halaman sebuah bangunan oleh dua pegawai polis daripada unit kawalan berkuda.
Media tempatan melaporkan ketika itu, dia didakwa melakukan pencerobohan dalam beberapa kejadian.
Ketua Polis Galveston, Vernon Hale yang juga seorang lelaki berkulit hitam berkata, teknik yang digunakan oleh kedua-dua pegawai polis itu pernah diajarkan kepada para pegawai polis namun beliau memutuskan ia tidak lagi menggunakannya.
Beliau meminta maaf kepada Neely dan berkata, lelaki kulit hitam itu sepatutnya menaiki sebuah kenderaan polis tetapi sebuah kereta pihak berkuasa tersebut tidak ada semasa kejadian.
Namun, beberapa aktivis kumpulan berkata, kenyataannya itu adalah lemah. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!