Polis tumpu enam lokasi 'panas'

Abd Rahim melancarkan Op Selamat Peringkat Kedah, hari ini.
Abd Rahim melancarkan Op Selamat Peringkat Kedah, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak enam lokasi di lima daerah kerap berlaku kemalangan diberi tumpuan dalam Op Selamat bermula kelmarin hingga 12 Februari ini.

Ketua Polis Kedah merangkap Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, lokasi berkenaan melibatkan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) iaitu di daerah Kota Setar, Kuala Muda, Kubang Pasu, Pendang dan Bandar Baharu.

“Lokasi terlibat adalah Kilometer 46.5 di Kota Setar; Kilometer 109.4 dan Kilometer 83.3 di Kuala Muda; Kilometer 20 (Kubang Pasu); Kilometer 63.1 (Pendang) dan Kilometer 171.3 (Bandar Baharu),” katanya, selepas melancarkan operasi berkenaan peringkat negeri di pekarangan Aman Sentral di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid; Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Ismasuhaimi Shariff.

Abd Rahim berkata, berlaku peningkatan jumlah kemalangan maut daripada 14 kes pada tahun 2017 kepada 22 kes tahun lalu.

“Manakala jumlah kemalangan keseluruhan turut meningkat iaitu 950 kes kepada 1,006 kes bagi tempoh sama. Op Selamat yang bermula seminggu sebelum dan seminggu selepas perayaan akan memfokus kepada daerah yang mencatatkan jumlah kemalangan maut yang tinggi,” katanya.

Menurutnya, lebih 100 anggota trafik dan lain-lain cawangan akan bertugas sepanjang Op Selamat kali ini.

“Berdasarkan Op Selamat 2018, daerah paling tinggi kes kemalangan adalah Kuala Muda sebanyak 269 kes, diikuti Kota Setar (252 kes), Kulim (182 kes), Kubang Pasu (72 kes) dan Langkawi sebanyak 53 kes,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Abd Rahim berkata, sebahagian besar mangsa kemalangan maut pula terdiri daripada penunggang motosikal dan penumpang serta pemandu kereta.

“Pertambahan kenderaan musim perayaan menyumbang kepada peningkatan berlakunya kemalangan, untuk pastikan Op lebih berkesan, PDRM bekerjasama dengan beberapa agensi melalui Emergency Response Team (ERT), antaranya JPJ, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya.

Menurutnya, Op bertemakan ‘Rumah selamat, Selamat sampai ke destinasi’ turut memberi tumpuan kepada usaha mencegah jenayah pecah rumah.

“Rumah yang ditinggalkan semasa musim perayaan akan dipantau, kami harap orang ramai maklumkan perancangan cuti kepada polis menerusi borang maklumat balik kampung yang boleh didapati di balai polis berdekatan.

"Borang berkenaan juga boleh dimuat turun melalui portal rasmi PDRM atau menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau sistem SMS Rakan Cop,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!