PKPB: Tiada pembelian panik sekitar Shah Alam

Kaunter di sebuah pasar raya sekitar Seksyen 16 masih tenang dan terkawal.
Kaunter di sebuah pasar raya sekitar Seksyen 16 masih tenang dan terkawal.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada sebarang pembelian panik dikesan di beberapa pasar raya susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor bermula tengah malam ini.

Menerusi tinjauan Sinar Harian di pasar raya sekitar Seksyen 13 dan Seksyen 16 pada jam 11 pagi tadi mendapati keadaan di setiap premis masih tenang dengan jumlah kehadiran pengunjung yang terkawal.

Malah, dapat dilihat juga bekalan makanan serta keperluan harian yang dipasarkan di setiap pasar raya terlibat masih mencukupi.

Selain itu, setiap pasar raya turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan merekodkan suhu pengunjung dan memastikan mereka memakai pelitup muka sepanjang berada di dalam premis.

Ketika ditemui Sinar Harian, seorang suri rumah, Siti Suriani Kamaruddin, 47, memaklumkan dia terpaksa keluar hari ini bagi mendapatkan stok keperluan harian memandangkan tidak sempat membelinya pada cuti hujung minggu baru-baru ini.

Keadaan di pasar raya sekitar Seksyen 13 lenggang dan terkawal.
Keadaan di pasar raya sekitar Seksyen 13 lenggang dan terkawal.

"Biasanya saya beli stok makanan setiap hujung minggu, namun baru-baru ini tidak sempat beli sebab perlu melawat saudara sakit di Sabak Bernam.

"Jadi sebab itulah saya datang beli stok makanan hari ini dan bukannya kerana panik berikutan pelaksanaan PKPB," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Malah, Siti Suriani berkata, dia yakin bekalan makanan sentiasa mencukupi dan tiada keperluan untuk membuat sebarang pembelian panik.

"Macam kita tahu, wakil keluarga masih boleh keluar beli barangan sewaktu PKPB, jadi tidak perlu untuk buat pembelian panik," katanya.

Sementara itu, seorang pemandu teksi, Zulkifli Ramesh Abdullah,46, berkata, langkah kerajaan mengumumkan PKPB adalah bertepatan susulan peningkatan kes koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Zulkifli berkata, orang ramai tidak perlu panik memandangkan negara sebelum ini pernah berjaya melandaikan penularan wabak berkenaan sewaktu gelombang pertama pada Mac lalu.

Makanan keperluan seperti telur juga masih mencukupi untuk dipasarkan kepada pengguna.
Makanan keperluan seperti telur juga masih mencukupi untuk dipasarkan kepada pengguna.

"Kita pernah berdepan situasi seperti ini, jadi rakyat tidak perlu panik kerana ketika perlaksanaan PKPB, sektor ekonomi masih beroperasi.

"Cumanya usaha ini perlu dapat kerjasama semua pihak untuk sentiasa tenang dan dapat bersama-sama mematuhi SOP ditetapkan," katanya.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa 12.01 tengah malam ini hingga 27 Oktober.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang akhbar harian semalam berkata, keputusan itu dicapai pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan Covid-19 seperti di Klang, Petaling serta Gombak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!