Batal ECRL jika libatkan lebih banyak kerugian
KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sekiranya ia melibatkan lebih banyak kerugian, sebaliknya menumpukan perhatian yang lebih mendalam terhadap pembangunan sosioekonomi di Pantai Timur.
Pakar Ekonomi, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram berkata, isu-isu seperti air kotor, kumbahan dan banjir di Kelantan yang telah lama memerlukan perhatian segera, perlu ditangani sebaiknya.
Beliau berkata, pembangunan pengangkutan sedia ada di pantai timur, seperti laluan darat dan udara, sudah memadai tanpa memerlukan kereta api laju.
"Projek itu tidak (akan) memajukan pantai timur, jadi yang nak dikatakan (pembatalan ECRL) akan mengabaikan Pantai Timur, sebenarnya ini satu helah yang digunakan oleh pihak tertentu untuk selamatkan projek palsu.
ARTIKEL BERKAITAN: Batal ECRL masih belum muktamad: PM
"Dari dulu lagi projek itu direka untuk mendapatkan keuntungan dan kekayaan bagi pihak tertentu, mungkin dengan tujuan untuk menutup penipuan dan kerugian 1MDB," katanya kepada pemberita ketika di temui pada Bicara Makan Tengah Hari Malaysia Baharu: Peranan Media, bersama editor dan pengamal media hari ini.
Jomo berkata, isu yang membabitkan projek bernilai RM81 bilion itu sangat 'sulit' (rumit) kerana ia melibatkan ramai pihak luar dan banyak harta negara yang perlu diselamatkan demi kepentingan dan kemajuan Malaysia.
Katanya, pendekatan mengurangkan kerugian adalah lebih baik bagi menyelamatkan kewangan negara, namun ia tidak semudah itu berikutan jumlah pinjaman yang telah diambil cukup besar.
"Kerajaan perlukan ruang untuk menyelesaikan perkara ini.
"Pihak berkuasa perlu bersatu dan berurusan dengan pihak-pihak lain (luar) yang terlibat untuk mengurangkan kerugian dan memaksimumkan apa yang dapat diselamatkan," katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan belum membuat keputusan akhir mengenai projek ECRL kerana ia masih dalam peringkat perundingan.
Beliau berkata, membayar pampasan adalah lebih murah daripada menanggung kos projek itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!