Sidang DUN Pulau Pinang kecoh isu lompat parti

A
A
A

GEORGETOWN - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini sedikit tegang apabila isu lompat parti dibangkitkan ketika ucapan Ketua Pembangkang, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua).

Perkara itu mula tercetus apabila Teh Lai Heng (DAP-Komtar) meminta pandangan Muhamad Yusoff mengenai penarikan usul kekosongan empat kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sepatutnya dibentangkan pada sesi persidangan kali ini.

Keadaan bertambah kecoh apabila Muhamad Yusoff terus diasak dengan soalan oleh Lee Chun Kit (DAP-Pulau Tikus) yang memintanya menyatakan pendirian dengan amalan lompat parti termasuk yang dibuat beberapa ADUN yang berada di dalam dewan ini.

Suasana tegang bagaimanapun berjaya dikawal oleh Speaker, Datuk Law Choo Kiang yang meminta semua ahli dewan menghormati dewan dan memberi ruang kepada Muhamad Yusoff menjawab.

Menjawab soalan dibangkitkan Chun Kit, Muhamad Yusoff berkata, beliau tidak suka dengan amalan melompat parti kerana beliau seorang yang setia namun bersedia mempertahankan semua rakan-rakan di blok pembangkang.

“Saya sudah bersedia untuk mempertahankan rakan-rakan dan percaya tindakan mereka tidak bercanggah dengan undang-undang selain boleh dipertahankan.

“Pada masa sama saya bersyukur usul mengosongkan kerusi empat ADUN tidak dibawa hari ini yang berkemungkinan ia adalah atas alasan koronavirus (Covid-19),” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang memaklumkan tidak akan meneruskan pembentangan usul untuk mengosongkan empat kerusi DUN pada persidangan kali ini kerana situasi terkini wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Ketua Menteri Chow Kon Yeow sebelum ini berkata, keputusan itu dibuat selepas melihat kesan buruk daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang mana berlakunya peningkatan kes Covid-19 selepas pilihan raya itu diadakan.

Pulau Pinang sebelum ini menguatkuasakan undang-undang Anti Lompat Parti bagi menyekat mana-mana wakil rakyat negeri itu daripada melompat parti untuk keuntungan peribadi mengikut Perkara 14A (1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang

Sebelum ini, dua ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Teluk Bahang, Zolkifli Md Lazim menarik semula sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan bersama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin dan ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim pula tidak lagi menjadi wakil rakyat PH apabila dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!