Peniaga mahu pinjam RM5,000, rugi RM15,800
KUANTAN - Seorang peniaga rugi RM15,800 kononnya untuk bayaran proses kelulusan pinjaman walaupun jumlah itu lebih tiga kali ganda daripada pinjaman RM5,000 yang dimohon.
Wanita berusia 41 tahun itu mendakwa dia terpaksa membuat bayaran berkenaan kerana bukan sahaja bimbang permohonannya ditolak, malah turut diugut kehidupannya akan diganggu jika gagal berbuat demikian.
Lebih malang, selepas bayaran dibuat, mangsa gagal menerima wang pinjaman dimohon sebaliknya dia terus diganggu dengan panggilan mendesaknya terus membuat bayaran.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Maran semalam mendakwa kerugian RM15,800 selepas tertipu dalam urusan pinjaman wang itu.
Menurutnya, kejadian bermula selepas mangsa tertarik dengan promosi pinjaman peribadi diiklankan melalui satu akaun Facebook yang dilayari pada 26 Jun lalu.
"Mangsa berurusan dengan ejen pinjaman itu melalui WhatsApp berdasarkan pautan nombor telefon yang tertera pada iklan itu.
"Mangsa mendakwa telah membuat bayaran melalui 12 transaksi ke tujuh akaun bank atas nama individu berbeza sejak 26 Jun lalu dengan bayaran pertama RM300 kononnya untuk insurans," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Wazir berkata, selepas pelbagai bayaran dibuat, mangsa gagal mendapatkan wang yang dipinjam dan syak telah ditipu, lalu tampil membuat laporan polis semalam.
"Semalam juga, mangsa masih menerima panggilan mendesaknya memasukkan sejumlah wang bagi urusan pinjaman wang tersebut," katanya.
Beliau berkata, susulan laporan polis yang dibuat mangsa, pihaknya membuka kertas siasatan kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Polis juga sedang mengesan tujuh individu termasuk seorang wanita yang merupakan pemilik akaun bank digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!