Jawi tutup premis pentadbiran hingga 27 Oktober
KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menutup premis pentadbiran di bawah kelolaannya bermula esok hingga 27 Oktober selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Pengarahnya, Mohd Ajib Ismail berkata, penutupan tersebut termasuk masjid, surau Jumaat, surau, Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi (Siraj) di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Bagaimanapun menurutnya, operasi kaunter Jawi berjalan seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang telah ditetapkan.
"Jawi menyarankan semua pihak supaya mengamalkan penjagaan kebersihan diri dan mematuhi arahan KKM," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, perkembangan semasa dan maklumat terkini akan dikongsikan menerusi media sosial dan laman web rasmi JAWI.
Orang ramai boleh menghubungi talian 03-2274 9333 atau emel ke aduan@jawi.gov.my untuk maklumat lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!