Suharnizan fail saman lebih RM2 juta terhadap Eira Aziera
JOHOR BAHRU - Pesuruhjaya Sumpah Suharnizan Md Sidek hari ini memfailkan saman lebih RM2 juta terhadap seorang personaliti media sosial (influencer) yang didakwa menghina bentuk fizikalnya atau body shaming.
Peguamnya, Mohd Rasheed Hassan berkata, saman sudah difailkan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru dan kemudiannya akan diserahkan kepada pihak Eira Aziera atau nama penuhnya adalah Noorazira Pissal, 37.
"Saman sudah didaftar di mahkamah dan petang ini saya sudah terima emel daripada Tetuan Yahaya Ahmad & Co dari Sungai Petani, Kedah, yang mengatakan bertindak bagi pihak Eira Aziera.
"Jadi saman dan pernyataan tuntutan akan diserahkan menerusi emel dan kurier kepada peguam Eira (personaliti) dan dalam tempoh 14 hari, kehadiran perlu difailkan.
"14 hari selepas itu, pembelaan perlu difailkan. Tarikh sebutan pertama di Mahkamah Tinggi Johor Bahru adalah pada 11 November depan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd Rasheed berkata, sebutan pada 11 November ini akan dibuat secara dalam talian dengan pendaftar sahaja.
Pada 18 Ogos lalu kira-kira jam 10 pagi, Suharnizan menulis komen 'live masak, live makan-makan, letak produk kurus, boleh kurus ke?' menerusi video secara 'live' sebelum dikongsikan rakannya dalam Facebook Eira Aziera.
Eira Aziera membuat satu rakaman video dan mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat kepada Suharnizan dan menyamakan bentuk tubuh individu tersebut dengan haiwan termasuk memaparkan gambar dia dan anaknya sebelum video berkenaan tular.
Bagaimanapun tindakan personaliti tersebut mendapat kecaman netizen sebelum Eira Aziera tampil sekali lagi dalam sebuah video memohon maaf atas perbuatannya, mendakwa gagal mengawal emosinya dan menjaga tutur kata sehingga menyebabkan ramai pihak rasa tersinggung.
Suharnizan ditemani Mohd Rasheed kemudian mengambil keputusan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini pada 15 September lalu berhubung kes tersebut.
Mohd Rasheed memaklumkan walaupun terdapat permohonan maaf yang dibuat secara langsung menerusi Facebook 'influencer' itu, isu 'body shaming' boleh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!